Seramai 500 keluarga berpendapatan rendah di Daerah Kuala Nerus yang belum memiliki kediaman sendiri, dijangka dapat menikmati kehidupan lebih baik dan selesa apabila Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Nanas, Tepoh siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun akan datang.
Projek perumahan di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu bakal dibangunkan sebaik sahaja majlis pecah tanah oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, pada 15 April ini.
Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Dato' Basir Ismail berkata, projek perumahan itu mempunyai enam blok bangunan bertingkat dan dilengkapi pelbagai kemudahan untuk penduduk sekitar.
"Projek ini dijangka siapa dalam tempoh dua tahun berkonsepkan rumah setinggi lima tingkat yang merangkumi 500 unit dan enam blok kesemuanya.
"Mereka yang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah layak memohon rumah ini dengan mendaftar terlebih dahulu dengan kementerian perumahan. Tidak perlu menunggu sehingga rumah ini siap baru mendaftar," katanya.
Basir berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana menyediakan satu projek yang amat bermakna untuk manfaat dan kepeluan penduduk Kuala Nerus khususnya untuk rakyat berpendapatan rendah.
Seorang penduduk, Jusoh Sulong, 63, dari Kampung Gemuruh, berkata projek perumahan itu satu berita gembira yang amat ditunggu-tunggu oleh masyarakat sekitar, terutama kepada golongan yang kurang berkemampuan untuk membina rumah sendiri.
"Alhamdulillah, sebab Kerajaan Pusat mengambil berat dan prihatin dengan kebajikan dan keperluan utama penduduk,"katanya.