52 Kelab Berentap Rebut Kejuaraan Cabaran Monsun Bukit Besi 4x4

DUNGUN, 5 Disember - Sebanyak 52 kelab melibatkan 190 peserta kembali berentap dalam Cabaran Monsun Bukit Besi 4x4 2021 selepas penganjuran pertama pada 2018.

Pengarah Kelab Teguh Fourwheller Team (TFT), Shamsul Anuar Musa berkata, kesemua peserta akan bertanding melalui dua kategori Super Core dan Light Core.

“Penyertaan membabitkan peserta dari seluruh negeri, termasuk Melaka, Johor, Pulau Pinang, Kelantan, dan banyak lagi selain dari Terengganu. Cuma pada kali ini kita tidak jemput peserta dari luar negara walaupun mereka amat tertarik untuk menyertainya disebabkan kekangan pandemik.

“Kejohanan di sini seperti biasa mempunyai cabarannya yang tersendiri sinonim dengan nama Bukit Besi, treknya adalah berbukit kalau di venue yang lain pada kebiasaannya paya dan padang.

“Ia sangat mencabar peserta memerlukan kemahiran yang tinggi bagi mengharungi segala cabaran ini, sejauh 300 hingga 400 meter yang perlu dihabiskan dalam masa 15 minit hingga 20 minit.

"Semua peserta juga sedia maklum apabila diadakan pada musim monsun, mesti ia adalah musim hujan para peserta akan mengalami kesukaran untuk habiskan 'special stage ini' menjadikan ia lebih mencabar dan menyeronokkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada kejohanan tersebut yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Kayu Kayan Terengganu, Suhairi Sulong dan pengarah Program, Azami Mansor.

Mengulas lanjut kata Shamsul Anuar, sokongan kerajaan negeri dalam membantu perkembangan sukan lasak tersebut sangat berkesan sekali gus menjadikan Terengganu tumpuan kepada seluruh penggemar sukan lasak di seluruh dunia.

“Saya mencadangkan agar acara seperti ini diadakan sebagai aktiviti tahunan dan kerajaan perlu memberikan sokongan yang berterusan kepada TFT dan juga kelab lain bagi menganjurkannya.

“Di negeri ini sendiri ada 15 kelab yang mana masing-masing berupaya serta mempunyai kemampuan untuk membuat ‘event’ seperti ini,” ujarnya.

Sementara itu, Hishamuddin berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong aktiviti sukan lasak berkenaan.

“Kita anggap sukan lasak ini memberikan suatu suasana dan aspek yang sangat baik dalam membina kerjasama antara mereka di samping dapat membina pembentukan mental yang kuat kepada semua peserta.

"Selain merebut kejuaran melalui kejohanan yang diadakan mereka juga berperanan penting bagi membantu masyarakat di lapangan terutamanya ketika menghadapi bencana banjir, pasukanan ini akan turun bagi menyumbangkan khidmat bakti mereka melalui suatu kombinasi kerja berpasukan yang cukup hebat kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Ujarnya penganjuran kejohanan tersebut juga bukan bukan setakat mengumpulkan peserta dan peminat dari seluruh pelusuk negara malah ia juga mampu merancakkan permbangunan sosio-ekonomi masyarakat setempat.


Tag: