Berita :
PERMATA Himpun Hampir 600 Mahasiswa Anak Terengganu Dari 22 IPT
PERMATA Himpun Hampir 600 Mahasiswa Anak Terengganu Dari 22 IPT
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
38

KUALA TERENGGANU, 13 Mac - Seramai hampir 600 mahasiswa anak Terengganu dari 22 institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara berhimpun dalam Majlis Apresiasi & Iftar Perdana Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) Kebangsaan 2026 anjuran Yayasan Terengganu.

Program apresiasi yang berlangsung pada hari ke 22 pada bulan Ramadan itu turut menjadi platform bagi menyeru golongan mahasiswa memainkan peranan lebih besar, khususnya untuk Terengganu.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, golongan mahasiswa merupakan harapan masa depan negeri dan negara dengan memanfaatkan ilmu dan peluang yang dimiliki untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

"Terima kasih saya ucapkan kepada saudara dan saudari yang hampir 600 orang anak PERMATA dari 22 buah IPT seluruh negara yang hadir pada hari ini. 

"Mungkin kerana kebetulan cuti semester maka boleh datang dengan begitu ramai pada hari ini. Terima kasih semua," ucapnya ketika merasmikan program tersebut, semalam.

Menurut beliau, kehadiran ratusan mahasiswa dari pelbagai IPT menunjukkan komitmen tinggi anak Terengganu dalam memperkukuh jaringan dan peranan mereka sebagai generasi pemimpin masa hadapan.

"Abang-abang dan adik-adik, kakak-kakak sekalian para mahasiswa dan mahasiswi yang ada dalam majlis pada hari ini semuanya adalah merupakan cahaya bagi masa depan negeri Terengganu dan negara kita," ujarnya.

Pesan Samsuri, dalam kehidupan bermasyarakat, golongan yang mempunyai kelebihan dari segi ilmu dan kemampuan perlu membantu mereka yang kurang bernasib baik.

"Mereka (yang kurang bernasib baik) beranggapan itu adalah ujian kepada mereka, kepada orang yang cukup seperti kita, yang hadir pada hari ini kita kena ingat ujian kita itu juga lebih besar kadangkala berbanding dengan ujian mereka

"Di sinilah timbulnya perlu saling lengkap melengkapi dalam sesebuah masyarakat dan keluarga. Pada yang mampu seharusnya menjadi tempat bergantung kepada Yang tidak mampu.

"Yang gagah pula jadi tempat bertaut pada yang lemah, yang pandai pula sudah tentu tempat belajar kepada yang lain," pesannya.

Menteri Besar turut menegaskan bahawa usaha membantu masyarakat bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan semua pihak termasuk mahasiswa.

"Tugas begini bukan tugas kerajaan semata-mata atau tugas Yayasan Terengganu semata-mata. Ianya adalah tugas kita sendiri.

"Sudah tentu dengan minda yang cergas dan cerdas seperti para mahasiswa telah menjadi lebih berat untuk memikirkan apa yang akan terjadi kepada nusa bangsa yang memerlukan pembelaan," tambahnya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua PERMATA Kebangsaan Sesi 2025/2026, Ahmad Firdaus Hanafi Ahmad Faisal mengucapkan sekalung penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas sokongan berterusan kepada PERMATA.

"Kehadiran barisan pimpinan pada hari ini membuktikan keprihatinan tinggi Kerajaan Negeri yang sentiasa menyokong usaha kami dalam pembangunan modal insan. 

"Sokongan berterusan inilah yang membolehkan anak-anak permata daripada Perlis hingga ke Sabah untuk terus menggilap potensi mereka ke tahap yang tertinggi," katanya.

Dalam majlis sama, turut diadakan penyampaian Geran Aktiviti Tahunan PWRMATA dan Anugerah Pengurusan PERMATA Terbaik kepada empat IPT yang menunjukkan kepimpinan dan pengurusan cemerlang serta pengiktirafan kepada dua penerima Anugerah Ikon PERMATA.


Ketupat

Artikel Berkaitan