Berita :
52 Pelajar Hulu Besut Cemerlang SPM 2025 10 Raih Straight A
52 Pelajar Hulu Besut Cemerlang SPM 2025 10 Raih Straight A
Norekwan Mamat
30 Apr 26
112

HULU BESUT, 30 April – Seramai 52 pelajar dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, sekali gus membuktikan keupayaan sistem pendidikan setempat melahirkan pelajar berprestasi tinggi.

Daripada jumlah tersebut, 10 pelajar berjaya memperoleh keputusan ‘Straight A’, manakala 42 pelajar lain meraih sekurang-kurangnya 6A.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, pencapaian ini adalah hasil kesungguhan pelajar, sokongan ibu bapa serta komitmen tinggi para guru dalam memastikan kecemerlangan akademik.

“Ini adalah satu pencapaian membanggakan yang bukan sahaja mengharumkan nama Hulu Besut, malah menjadi bukti bahawa usaha berterusan.

"Disiplin yang tinggi dan doa yang tidak putus mampu melahirkan generasi berilmu serta berakhlak,” katanya ketika ditemui pihak media.

Husaimi turut menegaskan bahawa kejayaan ini tidak datang dengan mudah, sebaliknya menuntut pengorbanan masa, tenaga dan kesabaran yang tinggi daripada semua pihak yang terlibat.

Sebagai tanda penghargaan, beliau turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai, sijil, kek dan ‘tumbler’ kepada para pelajar sebagai galakan untuk terus melangkah ke peringkat lebih tinggi.

“Gunakan kejayaan ini sebagai asas untuk melangkah lebih jauh. Dunia pendidikan masih luas dan penuh peluang. Teruskan usaha, kekalkan disiplin dan jangan sesekali cepat berpuas hati,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, kejayaan Muhammad Hazeem Zikry Mohd Hazree, pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari Kampung Beliku yang memperoleh 6A, turut mencuri perhatian.

Kejayaan tersebut membuktikan bahawa kekangan bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan, sekali gus menyerlahkan kepentingan pendidikan inklusif dalam sistem pendidikan negara.

“Anak-anak istimewa ini sebenarnya memiliki potensi besar. Dengan sokongan yang betul dan peluang yang adil, mereka mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pelajar lain,” katanya lagi.

Beliau berharap pencapaian ini akan menjadi pemangkin semangat kepada pelajar lain untuk terus berusaha serta menjadi inspirasi kepada generasi muda di kawasan itu.

“Semoga kejayaan ini bukan sekadar angka, tetapi menjadi titik permulaan kepada pembinaan masa depan yang gemilang, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara,” tambahnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan