577 Penternak Terima Bantuan Makanan Ikan


Dr Azman Ibrahim.

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 22 April – Kerajaan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM115,400 untuk agihan bantuan makanan ikan kepada 577 orang penternak di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, agihan bantuan itu disalurkan secara berperingkat dalam bentuk barangan.

"Penternak ikan air payau dan air tawar yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Terengganu di semua daerah akan menerima sumbangan.

"Ia bertujuan untuk meringankan sedikit bebanan penternak dengan bantuan berjumlah RM200 seorang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri memahami akan bebanan yang ditanggung penternak ikan sama ada sangkar atau kolam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pasaran yang terlalu terhad.

"Dalam masa yang sama penternak perlu menanggung kos makanan ikan setiap hari sehingga ramai di kalangan penternak mengadu mereka telah kehabisan modal pusingan.

"Bantuan ini diagihkan segera. Semoga yang sedikit dapat membantu meringankan beban sambil kita berdoa semoga wabak ini segera berakhir untuk kehidupan ini diteruskan seperti biasa," tambah beliau.


Tag: