DUNGUN,20 September- Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi mengadakan program Lambaian Menara Gading (LAMEGA) bagi meraikan 60 pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading.

Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, program berkenaan bertujuan memberi penghargaan kepada pelajar yang berjaya menempatkan diri ke pusat pengajian tinggi.

"Tahniah kepada semua pelajar. Saya doakan agar semuanya dapat mengikuti pengajian sehingga habis dan mendapat keputusan yang cemerlang. Boleh dikatakan setiap kali anak-anak DUN Bukit Besi dapat menyambung pengajian ke universiti akan kita ambil kesempatan bagi meraikan mereka, meniupkan semangat serta menasihatkan mereka agar menjaga sahsiah diri.

"Serta belajar dengan penuh semangat patriotik, maksudnya belajar dengan bersungguh-sungguh serta berniat bagi menyumbang sesuatu kepada negara dan tidak akan sesekali melakukan perkara yang merugikan bangsa, agama dan negara,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program LAMEGA yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi, baru-baru ini.

Bagi Wan Nur Aqlima Wan Saifulbahrim yang berjaya mendapat tempat Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, nasihat dan pesanan yang diberikan Ghazali akan menjadi pendorong untuknya menempuhi alam universiti.

"Saya akan melanjutkan pelajaran ke dalam bidang Pengurusan Operasi. Peluang belajar ini tidak akan saya persiakanlah, rasa sangat gembira mempunyai pegawai penyelaras yang begitu cakna dan prihatin terhadap kami.

"Dengan sedikit bantuan yang diberi ini saya rasa sangat bersyukur sebab dapat menampung sedikit perbelanjaan ke universiti nanti," ujarnya.

Nur Shafika Imran yang bakal menlanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah dalam bidang Usahawan dan Pelancongan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) juga sangat berterima kasih diatas kecaknaan Ghazali.

"Sukalah sebab ada orang meraikan kita dengan bantuan diberikan dapatlah tampung serba sedikit bagi membantu mahasiswa seperti kami, serta diberikan nasihat serta tips yang sangat membantu kami agar lebih peka kepada alam baru di universiti yang pastinya lebih mencabar bagi memastikan kami lebih terjaga serta tidak terjerumus kepada perkara yang tidak baik.

"Bagi saya apabila tamat pengajian nanti tidak keberatan untuk kembali berkhidmat di DUN Bukit Besi," katanya.