7,471 Mangsa Banjir Terima Bantuan RM7.471 Juta

KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Kerajaan negeri akan mengagihkan wang sebanyak RM7.471 juta kepada 7,471 ketua isi rumah (KIR) terlibat banjir yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional Terengganu Hanafiah Mat berkata wang tersebut sudah diterima daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Katanya, ia diagihkan kepada pejabat daerah untuk disalurkan kepada mangsa yang terlibat selewat-lewatnya pertengahan Ogos ini.

"Wang ini adalah khas untuk mangsa banjir yang berdaftar di PPS walaupun tidak berpindah namun begitu kita tetap mengalu-alukan bantuan tersebut.

"Setiap KIR ini akan menerima RM1,000 seorang secara berperingkat mulai minggu depan dengan agihan dilakukan oleh Pejabat Daerah masing-masing," katanya dalam sidang media  di luar persidangan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini.

Mangsa tertinggi ialah di daerah Kemaman iaitu seramai 4,795 orang diikuti Kuala Terengganu (1,506), Kuala Nerus (636), Hulu Terengganu (261), Setiu (151), Dungun (85) dan Besut (37).