8.5 Peratus Tapak Pembinaan Biak Aedes


Sejumlah 8.5 peratus tapak pembinaan yang diperiksa secara mengejut di negeri ini didapati positif sebagai tapak pembiakan nyamuk aedes yang menjadi punca penyakit denggi.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, pihaknya setakat ini sudah memeriksa 317 tapak pembinaan dan 27 daripadanya memang sah menjadi tapak nyamuk itu membiak.

Sebanyak 4 premis dikenakan kompaun, 22 premis dikenakan tindakan mahkamah dan 6 premis ditutup di bawah Seksyen 8 (3) (aa).

“Manakala 108 notis di bawah seksyen 8 dikeluarkan terhadap tapak bina yang didapati banyak bekas pembiakan,” ujarnya kepada pemberita selepas mengikuti operasi penguatkuasaan di sebuah tapak pembinaan di Kuala Terengganu, hari ini.


Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia memandang serius perkara ini dan telah mengarahkan 'Operasi Mega Perangi Aedes' dilaksanakan  mulai 23 September 2016 sehingga 23 Oktober 2016 di seluruh negara dengan memberi fokus kepada dua aktiviti.

“Antaranya aktiviti gotong royong perdana di lokaliti wabak dan tanah lot kosong di seluruh negara serta operasi penguatkuasaan ke atas tapak binaan dan projek rumah terbengkalai,” ujarnya.

Katanya, sebanyak 36 tapak bina dan 16 tanah lot kosong atau lokaliti wabak juga telah dikenalpasti di seluruh Terengganu untuk dibuat pemeriksaan sepanjang tempoh operasi tersebut.

“Lima tapak bina di daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus (5), Marang (2), Dungun (4), Kemaman (8), manakala Besut, Hulu Terengganu dan Setiu masing-masing empat dan 2 lot kosong atau lokaliti wabak bagi setiap daerah.

Katanya, aktiviti ini adalah sangat bersesuaian ekoran terdapat peningkatan kejadian kes denggi yang ketara beberapa minggu kebelakangan ini negeri ini.

“Sehingga 10 Oktober 2016, negeri Terengganu telah mencatat 1,835  kes denggi dengan 15 kematian pada tahun 2016,” ujarnya.

Tag: