Bahaya Pluralisme dan Liberalisme Agama

KUALA TERENGGANU, 5 September - Ancaman Pluralisme dan Liberalisme Agama lebih bahaya dari ajaran sesat lain kerana ia mengelirukan kefahaman umat Islam tentang tasawwur ajaran Islam yang sebenar.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, golongan muda paling ramai yang terpengaruh dengan fahaman tersebut kerana perkembangan media sosial yang bebas serta ceteknya kefahaman mereka tentang Islam.

"Dua fahaman itu sukar dijelaskan terutama (kepada) masyarakat awam dan umat Islam itu sendiri sehingga masuk dalam pemikiran mereka tanpa disedari," katanya ketika berucap dalam siri lawatan kerja di Jabatan Mufti, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di Kompleks Seri Iman dan Jabatan Kehakiman Syariah di Kompleks Mahkamah Syariah Terengganu di sini semalam.

Turut serta dalam lawatan tersebut, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, YB Ustaz Ridzuan Hashim, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Harun Esa dan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ustaz Mohd Zulkhairi Ngah.

Dr Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk seterusnya berkata umat Islam mestilah sentiasa diberikan peringatan dan kefahaman yang tepat tentang aqidah dan pemikiran Islam yang selari dengan Al-Quran dan al-Sunnah.

"Menjadi tanggungjawab semua pihak memberi kefahaman yang betul tentang Islam kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan ancaman (pluralisme dan liberalisme) tersebut," katanya.

 


Tag: