Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
ADUN Ajil, Ustaz Maliaman meninjau keadaan salah sebuah rumah yang terlibat yang terlibat dalam kejadian ribut di Felda Jerangau Barat, hari ini. |
HULU TERENGGANU - Lebih 13 rumah di Felda Jerangau Barat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, rosak akibat kejadian ribut, petang semalam.
Seorang mangsa, Razali Ismail,62, berkata ketika kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, dia bersama lima orang anak dan menantu sedang bersembang di balkoni rumah sebelum dikejutkan dengan tragedi berkenaan.
"Ketika ribut berlaku, saya berada di luar dan apabila tengok angin kuat serta dengar bunyi yang bising, saya merasa takut sebab ia seolah datang menerpa dengan laju.
"Saya melihat bagaimana angin menerbangkan atap di rumah jiran saya dan terpaku apabila ia meruntuhkan serta menerbangkan atap rumah saya selepas itu dan rumah dibanjiri air selepas atap melayang akibat ribut,"katanya.
Razali ditemui pemberita selepas lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim yang mengunjungi rumahnya serta rumah lain yang mengalami kerosakan akibat kejadian ribut di Felda Jerangau Barat, Ajil, di sini, hari ini.
Turut hadir, Penolong Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Badriah Omar dan Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Terengganu, Norazmy Adenan.
Razali memberitahu, sebahagian dari bumbung di hadapan ruang tamu rumahnya tercabut ketika kejadian.
Katanya lagi, ini merupakan kejadian kedua sepanjang tinggal di kawasan Felda tersebut.
Prihatin terhadap masalah itu, Maliaman yang ditemui berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan secepat mungkin kepada mangsa bagi meringankan beban mereka.
Jelasnya, ini melibatkan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi membaik pulih keseluruhan rumah-rumah yang terlibat dalam bencana kali ini.
"Kita akan pastikan empat buah rumah yang rosak teruk akan dibaiki segera dengan peruntukan ADUN dan saya beri jaminan akan diselesaikan dalam masa terdekat kerana kita faham situasi sekarang dengan cuaca yang tidak menentu.
"Bagi rumah selebihnya,ini akan diambil inisiatif oleh JKM dan Pejabat Daerah melalui kolaborasi antara jabatan,"katanya.
Beliau berkata, kerjasama antara jabatan dan agensi ini adalah satu kaedah terbaik untuk selesaikan masalah rakyat secara menyeluruh demi menjamin keselesaan mereka.
Sementara itu, Norazmy pula berkata pihaknya meninjau kawasan yang terlibat selepas menerima panggilan itu untuk meneliti tindakan sewajarnya susulan kejadian petang semalam.
"Hasil tinjauan pasukan unit krisis dan bencana kami, sebanyak 13 rumah terjejas akibat ribut dan jumlah mangsa yang terlibat masih dikenal pasti.
"Kita juga dah gerakkan pegawai psikologi untuk pastikan mana-mana mangsa yang terkesan dan trauma agar sesi kaunseling dapat dijalankan untuk menghilangkan ketakutan akibat peristiwa tersebut,"katanya.
Menurut Norazmy lagi, gerakan bantuan pemulihan dalam bentuk pakaian dan makanan turut dilaksanakan bagi meringankan beban mangsa.