lightning-solid
Berita :
ADUN Telemong Pohon Peruntukan Tambahan Bina Semula Masjid Uzur
ADUN Telemong Pohon Peruntukan Tambahan Bina Semula Masjid Uzur
Zahid Mustafar
12 Nov 25
2104

KUALA TERENGGANU, 12 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail, memohon supaya kerajaan negeri memberi pertimbangan tambahan bagi membina semula masjid-masjid uzur di seluruh DUN Telemong.

Menurut beliau, sebanyak 16 buah masjid di kawasan Telemong kini berada dalam keadaan uzur, namun hanya satu yang telah diluluskan untuk pembinaan baharu setakat ini.

"Telemong berharap diperkasakan masjid kerana masih terdapat 16 buah masjid yang uzur di seluruh DUN Telemong, dan kami merayu supaya Menteri Besar mempertimbangkan semula pembinaannya, bukan kerana tamak, tetapi kerana keadaannya benar-benar memerlukan perhatian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Enakmen Perbekalan 2026 di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas kelulusan pembinaan Masjid Kampung Kubang Palas, Kuala Telemong, yang disifatkan sebagai hasil penantian panjang rakyat setempat.

"Telemong mengucapkan terima kasih kerana Masjid Kubang Palas diluluskan pembinaannya.

"Selepas melalui proses yang sangat lama, lepas empat Perdana Menteri barulah lulus, rakyat Telemong sangat bersyukur," tambahnya.

Terdahulu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2026 semalam, mengumumkan cadangan pembinaan Masjid Kampung Kubang Palas yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.


Artikel Berkaitan