Berita :
ADUN Tepuh Agih Bubur Lambuk, Tembikai Sempena Ramadan
ADUN Tepuh Agih Bubur Lambuk, Tembikai Sempena Ramadan
Muhamad Fazlee Aziz
23 jam yang lepas
133

Oleh : Nurul Natasha Surin

KUALA NERUS, 9 Mac -  Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim mengagihkan bubur lambuk dan buah tembikai kepada orang ramai di hadapan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepuh, semalam 

Program yang diadakan setiap tahun sempena Ramadan itu bertujuan menyantuni masyarakat setempat di samping mengimarahkan suasana di bulan yang penuh keberkatan.

Menurut Hishamuddin, program tersebut bukan sahaja menjadi tradisi tahunan di kawasan berkenaan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.

“Program agihan bubur lambuk merupakan antara aktiviti tahunan yang dilaksanakan setiap kali menjelang Ramadan, malah kadangkala dianjurkan lebih dari satu kali sepanjang bulan tersebut. Ia juga menjadi ruang untuk kita bersama-sama menyantuni masyarakat serta menghidupkan semangat kebersamaan dalam komuniti. 

“Persiapan penyediaan bubur lambuk dilakukan secara gotong-royong dengan penglibatan penduduk setempat serta kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepuh sejak awal pagi.

“Kerjasama yang ditunjukkan oleh masyarakat setempat bukan sahaja mempercepatkan proses penyediaan juadah tersebut, malah mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti,” ujarnya.

Katanya, bagi melancarkan proses pengagihan, pihak penganjur menggunakan konsep pandu lalu (drive-thru) supaya orang ramai dapat mengambil makanan dengan lebih mudah dan teratur. Pendekatan itu juga membantu mengelakkan kesesakan di lokasi agihan selain mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan proses agihan berjalan lancar.

Sementara itu, beliau berharap program seumpama itu dapat terus dilaksanakan pada masa akan datang bagi mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan