BESUT, 11 Ogos – Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Kelab Penyokong Kerajaan Negeri (BBC) menjelajah ke seluruh daerah dalam Terengganu bagi mendekati dan menghulurkan sumbangan kepada keluarga kurang bernasib baik.
Pengerusi BBC yang juga ADUN Bandar, Ahmad Shah Mohamed berkata, program berkenaan telah bermula sejak April lalu di DUN Ladang.
"Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan BBC untuk mendekati rakyat di pelbagai kawasan.
"Dalam program yang diadakan pada semalam, BBC telah melawat DUN Jerteh, sebagai sebahagian daripada siri ziarah yang juga merangkumi agihan sumbangan keperluan asas," katanya.
Jelas Ahmad Shah lagi, program ziarah tersebut juga adalah usaha untuk memastikan pihaknya dapat mendengar dan memahami keperluan serta masalah rakyat di kawasan-kawasan dilawati.
Beliau berkata acara tersebut bermula seawal pukul 7.30 pagi dengan sesi sarapan pagi bersama penduduk tempatan.
Tambahnya, program diikuti dengan ziarah dari rumah ke rumah bermula sekitar pukul 8.30 pagi.
"Ziarah tersebut melibatkan lawatan ke rumah-rumah orang tua, pesakit kronik, dan mereka yang memerlukan bantuan.
“Kami membahagikan peserta kepada tiga kumpulan untuk memastikan setiap rumah dapat dilawati.
"Ini adalah peluang bagi kami untuk menunjukkan sokongan dan keprihatinan kepada mereka yang memerlukan," ujarnya.
Selain ziarah, program pada hari tersebut turut melibatkan acara sukan Pasti untuk Negeri Terengganu, yang turut disertai oleh wakil-wakil BBC.
Untuk rekod, program tersebut dirancang untuk diteruskan ke DUN Telemong pada akhir bulan ini atau awal bulan depan, dengan sasaran untuk melawat sekurang-kurangnya tiga kawasan setiap tahun.