Agih Bantuan Input Pertanian Elak Bebanan Lonjakan Harga Barang

SETIU, 2 Disember – Kerajaan Negeri memfokuskan pemberian Bantuan Input Pertanian berbanding subsidi dalam membangkitkan kembali para petani sektor pertanian khusus yang terkesan akibat kejatuhan harga mendadak.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bantuan tersebut telah melibatkan lebih 400 petani berdaftar di seluruh negeri sejak 2018 secara berterusan sehingga Tahun Pertanian Terengganu 2021.

“Sebelum ini kita menghadapi isu kejatuhan harga lada secara mendadak sehingga petani kita tidak mengeluarkan hasil, dan sebahagian lada dibiarkan rosak kerana tiada pembeli.

“Kita telah peruntukkan RM300,000 khusus bagi membangunkan balik industri lada, ini mengelakkan petani habis modal dan berputus asa menyebabkan keputusan bekalan.

“Bantuan berkenaan adalah sebagai suntikan pelbagai bentuk seperti baja, racun, benih, plastik hitam, pam air dan peralatan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Projek Penternakan Rusa Nukleus di Ladang Informasi Veterinar Bari, Setiu, baru-baru ini.

Jelasnya, usaha tangani bekalan diutamakan kerana kenaikan harga sayur-sayuran dikaitkan dengan konsep bekalan dan permintaan.

“Sektor selain lada turut mengalami naik dan turun, tapi ia tidak ketara,” katanya lagi.

Terdahulu, harga borong pasaran cili antara RM5.50 hingga RM6 sebelum ini menjunam kepada RM1.50 sekilogram sejak April mengakibatkan pendapatan mereka terjejas teruk.