Agihan 600 Kilo Daging Golongan Terjejas DUN Air Putih

KEMAMAN, 5 Februari - Umum mengetahui ramai pihak yang terkesan berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 baru-baru ini.

Ramai yang terjejas pendapatannya dan tidak kurang juga yang kehilangan mata pencarian terutamanya mereka yang bekerja sendiri seperti pengusaha restoran, peniaga pasar malam dan lain-lain.

Cakna akan situasi itu, pihak Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih mengambil inisiatif mengagihkan sebanyak 600 kilogram daging kepada mereka yang terjejas pendapatan di sekitar kawasan tersebut semalam.

Dianggarkan sebanyak 500 bekas daging berjaya diagihkan kepada penduduk setempat petang semalam yang mana setiap keluarga menerima 1 kilogram daging. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim ketika ditemui berkata, agihan itu melibatkan hampir 500 buah keluarga di sekitar DUN Air Putih.

"Di mana majoriti penerimanya adalah daripada kalangan mereka yang terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19.

“Kita juga berharap agar agihan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kegusaran ketua-ketua keluarga dalam menyediakan lauk untuk dihidangkan kepada isi rumah yang menanti,” tambah beliau yang turut turun padang membantu para petugas membungkus daging untuk diagihkan.

"Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak syarikat Dr. Daging yang sudi menaja daging-daging bagi tujuan agihan kali ini.

"Tidak dilupakan, ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pemuda, Muslimat dan Ameerah yang turut sama bertungkus lumus membantu menjayakan program agihan sumbangan ini.

"Semoga kita semua terus berusaha mengekang penularan wabak COVID-19 ini," ujarnya.