lightning-solid
Berita :
Agihan Sumbangan Bukan Pentas Berpolitik
Agihan Sumbangan Bukan Pentas Berpolitik
Hidayah Azlin
19 Nov 25
328


BESUT, 19 November – Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menekankan kepentingan untuk sentiasa memuliakan golongan istimewa iaitu warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan asnaf fakir miskin terutamanya dalam majlis agihan sumbangan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi menegaskan prinsip ini sebagai panduan utama dalam setiap program agihan, termasuklah Program TDM Bersama Masyarakat yang diadakan di Dewan Sivik Jabi, baru-baru ini. 

"Saya selalu ingatkan kepada urusetia program agar memberi ucapan pendek dan sumbangan perlu diturunkan kepada penerima dan bukan sebaliknya.

"Kita mesti muliakan mereka. Nabi bersabda maksudnya, ‘sesungguhnya kamu diberikan rezeki dengan sebab adanya orang-orang yang lemah di kalangan kamu’," kata beliau.

DSCF8231.jpg 1.01 MB

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TDM Berhad, Haji Najman Kamaruddin , Penolong Pegawai Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Daerah Besut, Ustaz Tuan Azri Tuan Ahmad , Ketua-Ketua Jabatan TDM Berhad, Anak-anak Syarikat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Dato’ Dr. Azman turut menyentuh amalan lama yang sering menjadikan majlis agihan sumbangan sebagai platform untuk berucap panjang bagi kempen politik.
“Kita sudah tutup buku cerita lama di mana majlis agihan sumbangan selalu dijadikan pentas untuk bersyarah berjam-jam demi kempen politik. Kesian orang tua, orang uzur atau orang kurang upaya bila kamu perlakukan mereka sebegitu rupa,” tegasnya.
Beliau turut menzahirkan rasa terima kasih pihak TDM dan MAIDAM atas inisiatif agihan sumbangan kepada warga Jabi seramai 134 orang.
DSCF8002.jpg 11.46 MB

"Alhamdulillah, keuntungan perniagaan Anak Syarikat Kerajaan Negeri, TDM semakin meningkat dari tahun ke tahun. Limpahannya turut dikongsi bersama rakyat jelata," katanya, menunjukkan bahawa kejayaan syarikat negeri turut dinikmati oleh rakyat melalui program kebajikan.

Pendekatan ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan bantuan disampaikan dengan penuh adab dan menghormati golongan yang memerlukan, menjauhkan majlis kebajikan daripada sebarang unsur politik berlebihan.


Tag :

Artikel Berkaitan