SETIU, 10 November - Linangan air mata membasahi pipi penerima dokumen hak milik tanah, Rohaya Mat Salleh, 41, selepas cita-citanya untuk memiliki tanah tercapai.
Ibu tunggal dari Kampung Bintang Bandar Permaisuri itu berkata, dia sudah lama berusaha untuk memiliki tanah tetapi baru sekarang memperolehnya daripada kerajaan negeri.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana mengurniakan tanah yang selama ini saya inginkan," jelasnya kepada media.
Dia berkata demikian selepas majlis penyerahan Dokumen Hak Milik Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) bagi tapak rumah dan pertanian di Dewan Serbaguna MDS Sungai Tarong di sini semalam.
Turut menyokong kenyataan Rohaya adalah, Safie Hussin, 43, buruh binaan dari Kampung Alor Serdang dan Muhammad Ridhwan Othman, 29, mekanik dari Kampung Alor Pasir Bintang masing-masing dari Bandar Permaisuri.
Menurut Rohaya, dia berjanji akan berusaha membina rumah di atas tanah tersebut bagi menyahut seruan kerajaan agar tidak menjadikan tanah itu sebagai tanah terbiar
Terdahulu, seramai 418 penduduk di daerah ini menerima dokumen hak milik RTB bagi tapak rumah dan pertanian.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata daripada jumlah itu seramai 271 penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri dan DUN Langkap (147).
"Jumlah penerima tersebut antara yang terbesar diagih dalam satu kawasan (di Daerah Setiu)," katanya.
Menurut beliau, banyak lagi urusan pemberian tanah belum selesai diagihkan kepada rakyat Terengganu.
"Urusa tersebut akan diselesaikan berperingkat dan berterusan dari semasa ke semasa.
"Kerajaan Terengganu yang memikul amanah akan menguruskan perkara ini dengan seadilnya dan harapan kerajaan kepada rakyat supaya tanah ini dimakmur dan dimajukan setelah mendapat geran hak milik, sesuai dengan syarat tanah yang diberikan," ujarnya.
Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, jika syarat tanah untuk pertanian, rakyat diharapkan supaya memajukan tanah itu untuk mendokong visi dan hala tuju kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri pengeluar makanan.
"JIka syarat tanah untuk tapak rumah, bangunkanlah rumah di atas tanah berkenaan dengan kadar sederhana supaya tanah itu tidak dikategorikan sebagai tanah terbiar," ujarnya lagi.