Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
KUALA TERENGGANU, 25 September – Pasukan bola sepak Terengganu berjaya menamatkan kemarau pingat emas dalam acara itu di Kejohanan Sukan Malaysia 2022 (SUKMA XX) MSN selepas kali terakhir dimenangi pada 2010.
Kejayaan merangkul ‘ibu segala pingat’ tersebut diraih selepas menewaskan pasukan Pulau Pinang dengan jaringan 2-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras Sabtu lalu.
Skuad bimbingan Badrul Afzan Razali menguasai perlawanan dengan kekuatan beberapa tonggak utama Terengganu FC dan Terengganu FC II dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Jaringan berjaya dihasilkan ketua pasukan, Safuwan Mazlan apabila berjaya menanduk masuk bola ke gawang lawan melalui sepakan percuma pada minit ke-24.
Pasukan Terengganu terus melebarkan kedudukan apabila pertahanan Pulau Pinang, Muhd Aidil Azuan menjaringkan gol sendiri pada minit ke-87 sekali gus mengesahkan kejuaraan yang dimiliki kontinjen Terengganu.
Kejayaan itu mengakhiri ketandusan memenangi pingat emas sukan tersebut selepas mencipta hatrik kemenangan pada SUKMA edisi 2006, 2008 dan 2010 lalu.
Turut hadir menyaksikan perlawanan itu Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan bapa angkat acara bola sepak, Hishamuddin Abdul Karim.