Al-Quran Penyembuh Jiwa
DUNGUN, 6 Februari - Al-Quran merupakan ubat paling mujarab dalam mengubati masalah kemurungan.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, setiap permasalahan dan kemudaratan dalam kehidupan, al-Quran adalah ubat terbaik.
"Kehidupan kita tidak boleh berpisah dengan mukjizat Nabi Muhammad SAW itu," katanya.
Wan Hassan berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Dungun 1444H/2023 di Dewan Majlis Perbandaran Dungun di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik; Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dan Pegawai Daerah Dungun, Jasman Ibrahim.
Menurut Wan Hassan lagi, al-Quran tidak akan berjaya dimusnahkan walaupun ia dibakar atau dibuang ke laut.
"Kerana adanya para penghafal Al-Quran yang akan menulisnya kembali," ujarnya lagi.
Di majlis tersebut Mohd Qasim Husni telah dinobatkan sebagai Johan Qari Peringkat Daerah Dungun manakala Johan Qariah pula disandang oleh Norasid@Norasiah Ali.