Amalan ITQAN Menuju Keseimbangan Kerja

KUALA TERENGGANU, 31 Januari – Gagasan ITQAN yang disusun Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) memberi panduan dalam menghasilkan seorang penjawat awam yang seimbang dalam melaksanakan tugasan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ridzuan Hashim berkata akronim ITQAN (Ihsan, Takwa, Qawwiy, Amin, Najah) melengkapkan produktiviti bagi seorang kakitangan.

“Itqan Insani sebagai garis panduan oleh i-MITS bagi penjawat melaksanakan tugasan berlandaskan nilai-nilai Islam dalam menghasilkan kualiti kerja yang baik.

“Nilaian kerja yang dilaksanakan dengan penuh kesungguhan apabila penerapan sifat Ihsan dipatuhi dengan sempurna, maka pekerjaan sebagai ibadah itu mendekatkan kita dengan Allah,” katanya ketika merasmikan Halaqah Unit Tubuh Sejahtera di Wisma Darul Iman hari ini.

Halaqah Unit Tubuh Sejahtera menjadi program bulanan bagi pegawai dan kakitangan kesemua unit tubuh bakal membincangkan buku Fiqh Harakah tulisan mantan Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan pengisi yang berbeza. 

Semua lima unit tubuh yang terlibat adalah i-MITS, Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Urus Setia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Urus Setia Wanita Terengganu (USWA) dan Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT).


Tag: