Jalur Gemilang
Berita :
Amaran Awal Banjir Di Lapan Daerah Terengganu Hingga 11 November
Amaran Awal Banjir Di Lapan Daerah Terengganu Hingga 11 November
Mastura Jamal Din
17 jam yang lepas
186

KUALA TERENGGANU, 9 November – Penduduk di lapan daerah di Terengganu diminta berwaspada dan bersiap siaga menghadapi kemungkinan banjir susulan amaran hujan berterusan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

 Amaran berkenaan melibatkan kawasan lembangan sungai, lokasi berisiko banjir dan kawasan rendah di seluruh negeri bermula 8 hingga 11 November ini.

 Menurut maklumat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), amaran hujan berterusan (Waspada) dikeluarkan MetMalaysia pada 8 November lalu, pukul 4.30 petang.

Antara kawasan yang dikenal pasti berisiko ialah lembangan Sungai Besut, Sungai Setiu dan Sungai Terengganu termasuk beberapa anak sungai di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu.

 Di Besut, kawasan terlibat merangkumi lembangan Sungai Besut, Sungai Keluang dan Sungai Semerak, manakala di Setiu membabitkan Sungai Merang dan Sungai Nerus.

 Bagi Kuala Nerus, kawasan berisiko melibatkan Sungai Terengganu termasuk Sungai Mengabang Telipot, Sungai Mengabang Besar dan Sungai Mengabang Telung.

 Kuala Terengganu pula membabitkan kawasan lembangan Sungai Terengganu di Sungai Ibai, sementara di Marang melibatkan Sungai Ibai dan Sungai Merchang.

 Di Hulu Terengganu, kawasan yang diberi perhatian ialah lembangan Sungai Terengganu di Sungai Marang.

 Sementara itu, di Dungun, kawasan berisiko melibatkan lembangan Sungai Dungun termasuk Sungai Merung, Sungai Kelemin dan Sungai Loh, selain Sungai Paka serta Sungai Sura.

 Di Kemaman, amaran melibatkan lembangan Sungai Kemaman termasuk Sungai Chukai, Sungai Tebak, Sungai Air Jernih, Sungai Jabor dan Sungai Cherul serta lembangan Sungai Kemasik.

 Sehubungan itu, penduduk khususnya yang tinggal di kawasan rendah, berhampiran sungai dan lokasi yang sering dilanda banjir dinasihatkan supaya meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta mengambil langkah awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

 Orang ramai juga diminta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan agensi pengurusan bencana serta mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan