Jalur Gemilang
Berita :
Hujan Lebat Lebih 100mm Direkodkan Di Besut, Marang
Hujan Lebat Lebih 100mm Direkodkan Di Besut, Marang
Rohayati Ripin
9 jam yang lepas
160

KUALA TERENGGANU, 9 November – Hujan lebat melebihi 100 milimeter (mm) direkodkan di beberapa kawasan di Terengganu hari ini, dengan Pulau Perhentian, Besut dan JPS Marang mencatatkan taburan hujan tertinggi setakat jam 2 petang.

Berdasarkan laporan semasa, JPS Terengganu, Pulau Perhentian merekodkan taburan hujan sebanyak 101.0mm, manakala JPS Marang mencatatkan 103.5mm sejak tengah malam tadi.

"Turut merekodkan taburan hujan melebihi 60mm ialah Stor JPS Kuala Terengganu (83.5mm), Kampung Jeram, Kuala Nerus (77mm), Kuala Dungun (67mm), SK Gemuruh, Kuala Nerus (69mm) dan Pengkalan Berangan, Marang (62mm)," jelasnya dalam laman sosial rasmi, hari ini.

Bagaimanapun, JPS memaklumkan semua stesen pemantauan aras air sungai di seluruh negeri masih berada pada paras normal setakat jam 2 petang.

Walau bagaimanapun, peningkatan aras air sungai berkemungkinan berlaku sekiranya hujan berterusan, terutama di kawasan yang berisiko mengalami banjir.

Sehubungan itu, JPS Negeri Terengganu meneruskan pemantauan rapi terhadap keadaan hujan dan aras air sungai bagi memastikan sebarang perubahan situasi dapat dikenal pasti dan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

Orang ramai khususnya penduduk di kawasan berisiko banjir dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca dan mengikuti makluman rasmi pihak berkuasa.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan