Anak Peniaga Pasar Malam Raih 6A
Berhasrat mahu mengubah nasib keluarga, Amna Alifa Zabidi, 12, anak kepada seorang peniaga pasar malam berjaya mendapat 6A dalam keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah(UPSR)yang diumumkan hari ini.
Menurut murid Sekolah Kebangsaan Seri Buluh, dia tidak menyangka akan berjaya dengan cemerlang menyifatkan kejayaannya dalam adalah hadiah kepada kedua ibu bapanya yang telah banyak berkorban selama ini.
"Ummi dan Abah adalah tonggak utama kepada kejayaan ini kerana tanpa restu dan berkat doa mereka adalah mustahil untuk saya berjaya.
"Amna juga nak ucapkan terima kasih kepada semua guru di SK Seri Buluh kerana telah banyak berkorban dan memberi tunjuk ajar bagi membolehkannya memperolehi keputusan cemerlang dalam UPSR tahun ini,"katanya ketika ditemui Teganukita di kediamannya di Kampung Buluh, Hulu Terengganu, hari ini.
Amna berkata, keputusan 6A adalah di luar jangkaan dan ini menambahkan kegembiraan kerana hasil kerja keras mengulang kaji pelajaran berbaloi.
Dia juga menyifatkan kejayaannya pada hari ini adalah berkat doa kepada Allah SWT selain usaha dan sokongan guru serta ahli keluarga terutama ibu bapanya.
“Saya belajar sama sahaja seperti orang lain,belajar secara berkumpulan yang mana kami akan menjadi 'guru' bagi setiap subjek yang kami mahir dan berkongsi ilmu dengan kawan-kawan.
"Bila pulang ke rumah, saya lebih santai belajar,meluangkan masa membantu ummi mengemas rumah dan kadang-kadang membantu abah berniaga di pasar malam namun menjelang peperiksaan UPSR saya kurangkan aktiviti kerana memberikan fokus mengulang kaji pelajaran," katanya.
Berkongsi cita-cita ingin menjadi pensyarah Amna berkata, dia kini sedang memohon melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT) sebagaimana kakak sulungnya Aqila Nazurah Zabidi pelajar Tingkatan Empat sekolah itu.
Sementara itu, ibunya, Jamilah Embong, 36, surirumah berkata, dia dan suami, Zabidi Ismail,45, bersyukur dan gembira dengan kejayaan cemerlang anaknya itu.
"Syukurlah anak saya mudah faham apa yang dipelajarinya dan sentiasa mengulangkaji pelajarannya tak kira masa malah merupakan anak yang patuh kepada ibu bapa.
"Sebagai ibu, saya tidak menekan pembelajaran di rumah bagi memberikan sedikit ruang untuk Amna rehatkan minda dan tenaganya cuma menitikberatkan penjagaan solat dan amalan membaca al-Quran setiap hari,"katanya.