Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
Anak Terengganu Juara Pertandingan Pidato Bahasa Korea 2020
KUALA TERENGGANU, 4 Januari – Amelya Shamira Kamarudin, 20, membuktikan anak kelahiran Terengganu mampu berjaya di tahap tertinggi selepas dinobatkan sebagai juara kategori kelas tinggi (advanced) dalam Pertandingan Pidato Bahasa Korea 2020, baru-baru ini.
Anak kelahiran Paka, Dungun itu berkata, kemenangan tersebut merupakan hasil pembelajaran sendiri dan menonton rancangan serta mendengar lagu Korea sejak daripada darjah empat.
“Bila menang, perasaan gembira tapi terkejut pun ada kerana dalam kalangan 32 peserta dari Malaysia lain, mereka pernah atau sedang belajar di Korea sedangkan saya sendiri tidak pernah pijak tanah di sana.
“Melalui pensyarah Bahasa Korea di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, saya mengambil bahagian mewakili negeri dan universiti sendiri,” katanya yang juga anak bongsu daripada lima adik beradik.
Amelya yang juga seorang mahasiswa UiTM Shah Alam, berjaya memenangi tempat pertama kategori kelas tinggi (advanced) dan membawa pulang trofi dan sijil anugerah serta cenderahati bernilai RM400 mengalahkan tiga peserta lain.
Sementara itu, menurut penganjur, peserta diberi tugas berpandukan dua tema iaitu ‘Dunia Yang Tidak Pernah Dialami’ dan ‘makna ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Korea dan Malaysia’, sebagai tanda keutuhan hubungan antara dua negara.
Katanya, ia bagi memberi ruang dan peluang untuk membina kerjasama serta pertukaran budaya dan idea antara peserta mengenai pendidikan bahasa Korea di Malaysia.
Menurut Presiden Persatuan Penduduk Korea di Malaysia (KSM), Lee Tae Soo, minat masyarakat Malaysia terhadap Bahasa Korea serta budaya dan seni Korea Selatan secara menyeluruh semakin meningkat.
“Oleh sebab itu, pertandingan seperti ini wajar diperluas dan diperbanyakkan lagi pada masa hadapan,” katanya ketika berucap semasa program tersebut.
Sejak penganjuran pertama pada tahun 2001, program tersebut julung kali diadakan atas talian melalui platform ‘Zoom’, disebabkan kekangan situasi pandemik COVID-19 yang melanda di seluruh dunia.
Dalam perkembangan sama, Arini Ab Ghani memenangi pemenang Hadiah Utama (Grand Prize) manakala Gan Jing Lin memenangi kelas sederhana (Intermediate) dan Siti Aisyah muncul sebagai pemenang bagi kelas pertama (Beginner).
Program tersebut dianjurkan oleh Ketua Panitia dan Pensyarah Bahasa Korea Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seo-Kyu Won dan Bang Ji Yeon dan International Education Centre (INTEC).