Oleh : Khalid Abdullah
KEMAMAN, 21 Januari - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili menyantuni pelajar pintar berusia 17 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah, Kemasik yang kisahnya tular selepas dirakam netizen ketika menjual jagung rebus di hadapan sebuah bank komersial di Bandar Cukai, kelmarin.
Ir Saiful memuji tindakan pelajar itu yang cekal membantu ayahnya, Asrulizam Mat Hussin, 42, demi menyara kehidupan mereka sekeluarga tanpa mengharapkan simpati masyarakat dengan meminta-minta.
Pelajar itu, Nur Anis Basyirah Asrulizam, 17, ditemui di kediaman keluarga di Kampung Sarang Lang, Kemasik, di sini berkata, dia berniaga untuk membantu ayahnya mencari rezeki pada hari tidak bersekolah.
"Kelmarin agak perit berniaga, setelah seharian menunggu, hanya laku RM5 sahaja....pendapatan pula tidak menentu, kerap-kali modal pun tidak lepas.
"Biasanya saya menjual dengan harga RM5 untuk dua tongkol jagung bersaiz besar, jika kecil, tiga tongkol.
"Selalunya, dua tong jagung rebus siap dibawa dari rumah, setiap tong boleh diisi 25 atau 30 tongkol jagung," katanya.
Sementara itu, Asrulizam berkata, anak sulungnya itu seorang yang sangat 'ringan tulang' dan tidak segan silu menawarkan diri membantunya mencari rezeki untuk keluarga.
"Setelah mengisi barang-barang jualan dalam kereta Proton lama kami, saya akan keluar berniaga, lokasi tentulah depan bank-bank di Bandar Cukai atau masuk berjaja di rancangan Felda di Ketengah Jaya.
"Jagung biasanya saya beli terus dengan tuan kebun, kalau bukan musimnya saya beli pisang untuk dibuat kerepek dan anak-anak juga yang akan membantu menjual," katanya.
Isteri Asrulizam, Rosziawati Ibrahim, 37, pula membantu merebus jagung, membuat kerepek pisang selain mengurus keperluan anak-anak.
"Selain Nur Anis Basyirah sebagai anak sulung, ada lima lagi cahaya mata dan yang paling kecil berusia dua tahun. Lima orang sedang bersekolah.
"Alhamdulillah, keluarga kami ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bantuan zakat, bolehlah menampung perbelanjaan kami anak-beranak seharian," katanya.