Pentadbiran Masjid Perlu Lapor Jika Ada Ajaran Meragukan - Sultan Mizan
Aplikasi GanuShop Kini Dalam Proses Penambahbaikan
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Kerajaan negeri kini dalam proses membuat penambahbaikan terhadap aplikasi GanuShop yang dijangka kembali beroperasi pada Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata pihak Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) sedang merangka strategi untuk mempromosikan aplikasi GanuShop untuk menambah ciri-ciri perkhidmatan yang lebih menarik.
"Kita akan mengadakan promosi GanuShop secara berterusan untuk meningkatkan bilangan penjual dan pembeli dari masa ke masa, mengadakan kursus secara berkala kepada penjual dan vendor-vendor.
"Di samping itu juga kita akan mengadakan program tawaran hadiah menarik kepada penjual dan pembeli bagi royalti ke atas pengguna Ganu Shop," katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili di Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas, hari ini.
Menurutnya lagi, melalui penambahbaikan yang bakal dilakukan, aplikasi ini dijangka akan mendapat peningkatan lebih daripada 50 peratus daripada bilangan penjual yang ada.
"Kita jangka sekurang-kurangnya 4,500 bilangan penjual akan menyertai GanuShop dan dengan adanya penambahbaikan bilangan penjual, dijangka transaksi penjual dalam aplikasi ini juga turut meningkat sekurang-kurangnya 50 peratus berbanding dengan jualan sebelum ini.
"Kita akan perkenalkan GanuShop ini bukan sekadar jadi platform untuk menjual dan membeli tetapi kita jadikan ia lebih luas daripada itu seperti kita masukkan sekali perkhidmatan teksi, e-hailing, perkhidmatan lori, trak dan sebagai logistik perkhidmatan bergerak seperti mekanik, tampal tayar motosikal dan begitu juga perkhidmatan 'food truck'," ujarnya.
Nurkhuzaini juga berkata setelah kerajaan menetapkan bazar Ramadan tidak dapat beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sehingga kini 3,111 usahawan telah berdaftar sebagai penjual atau pembeli perkhidmatan termasuk 2,000 orang telah berdaftar sebagai pembeli atau pengguna dalam aplikasi GanuShop.