ATM Anjur Karnival Semarak Merdeka


Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Pejabat Ahli Parlimen Kemaman akan menganjurkan Karnival Semarak Patriotisma Merdeka 2017 pada 17 dan 18 Ogos ini bertempat di Padang Astaka Taman Bandar, Chukai, Kemaman.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek berkata, karnival berkenaan akan dimuatkan dengan beberapa aktiviti menarik.
"Antaranya pertunjukan pancaragam, pameran pelbagai aset kententeraan ATM dan beberapa pertunjukan khas lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan ke tapak Program Semarak Patriotisme Peringkat Parlimen Kemaman di Padang Astaka, Chukai bersama ATM, semalam.
Menurut Shabery, objektif utama karnival berkenaan adalah untuk memberi penghargaan kepada Tan Sri Raja Mohamed Afandi selaku anak jati Daerah Kemaman yang dilantik menyandang jawatan tertinggi dalam ATM.
Katanya, karnival tersebut juga dilihat dapat memberi peluang kepada warga Kemaman untuk melihat pelbagai aset kententeraan secara lebih dekat lagi serta mendekatkan tentera dengan rakyat.
Beliau juga menyarankan supaya semua warga Kemaman dijemput hadir bagi memeriahkan lagi program pertama kali diadakan itu.
"Serentak dengan penganjuran karnival itu turut diadakan Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Parlimen Kemaman," katanya.
Tambahnya lagi, anggota tentera yang terlibat dianggarkan kira-kira puluhan ribu daripada ketiga-tiga cabang angkatan tentera iaitu darat, laut dan udara.
Katanya, Panglima ATM, Tan Sri Raja Mohamed Afandi Raja Mohamed Noor dijangka akan hadir ke program yang diadakan khas untuk warga Kemaman itu.
Selain itu, menurut Shabery penduduk Daerah Kemaman juga amat berbangga dengan pelantikan Raja Mohamed.




Tag: