Berita :
Terengganu Tak Halang Program, Tapi Ada Batas – Exco
Terengganu Tak Halang Program, Tapi Ada Batas – Exco
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
70

KUALA TERENGGANU, 25 Mei – Kerajaan Terengganu menegaskan negeri itu tidak pernah menutup ruang kepada penganjuran program yang memberi manfaat kepada rakyat, namun setiap aktiviti tetap perlu bergerak dalam batas garis panduan dan peraturan ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, keterbukaan kerajaan negeri bukan bermaksud semua penganjur bebas melaksanakan program tanpa kawalan.

Beliau berkata, setiap kelulusan program datang bersama tanggungjawab, termasuk menjaga keselamatan, ketenteraman awam, sensitiviti agama serta nilai masyarakat setempat.

“Terengganu terbuka kepada program yang baik dan bermanfaat. Tetapi terbuka bukan bermakna bebas tanpa batas.

“Kita mahu program berjalan, rakyat mendapat manfaat, peniaga mendapat peluang, anak muda ada ruang, tetapi semuanya mesti mematuhi syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam. 

Beliau berkata demikian susulan isu tular membabitkan sebuah program di negeri itu yang didakwa tidak mematuhi syarat penganjuran.

Menurut Muhammad Khalil, kerajaan negeri mengambil maklum teguran serta aduan orang ramai berhubung perkara tersebut.

Katanya, siasatan telah dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan dan tindakan kompaun telah dikeluarkan terhadap penganjur selepas beberapa kesalahan dikenal pasti.

“Tindakan ini bukan dibuat untuk menghukum semata-mata, sebaliknya sebagai langkah pembetulan dan pendidikan supaya perkara sama tidak berulang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mempertingkatkan aspek pemantauan dan penguatkuasaan, khususnya melibatkan kelulusan lesen hiburan, perhimpunan awam serta program berskala besar.

Jelasnya, perkara itu akan dilaksanakan melalui kerjasama lebih tersusun antara portfolio Pemerkasaan Syariah, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.

Dalam masa sama, kerajaan negeri turut akan meneliti semula garis panduan sedia ada supaya lebih jelas, mudah difahami dan tidak menimbulkan kekeliruan kepada penganjur.

“Kita mahu Terengganu terus menjadi negeri yang mesra kepada program bermanfaat, tetapi dalam masa sama kekal menjaga nilai, ketertiban dan keharmonian,” katanya.

Muhammad Khalil turut menegaskan banyak program sebelum ini berjaya dilaksanakan dengan baik tanpa menimbulkan sebarang isu apabila penganjur mematuhi syarat yang ditetapkan.

Katanya, perkara itu membuktikan kerajaan negeri tidak bersikap menutup pintu kepada penganjuran program, sebaliknya mahu semua pihak lebih bertanggungjawab agar setiap aktiviti berjalan secara tertib dan menghormati garis panduan negeri.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan