ATM Bantu Mangsa Kanser Terperangkap Banjir di Dungun

DUNGUN, 27 Januari - First Responder Batalion Ke-18 RAMD (Para) menyelamatkan mangsa warga emas pengidap kanser prostat yang terperangkap banjir di Dungun.

Pegawai Memerintah Batalion Ke-18 RAMD (Para), Leftenan Kolonel Mohd Zaki Jusoh berkata, ia akibat daripada laluan utama Kampung Lintang telah dinaiki air dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan termasuk ambulan. 

Katanya, operasi menyelamat tersebut melibatkan dua pegawai dan 25 anggota lain-lain pangkat yang telah diaturgerak bagi melaksanakan Operasi MURNI di sektor Dungun akibat banjir gelombang keempat ini. 

“Dalam operasi tersebut, pihaknya menggunakan aset kenderaan tujuh tan bagi membawa keluar warga emas tersebut ke jalan utama sebelum dibawa oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan.

“Warga emas tersebut yang mengalami masalah kesihatan disarankan untuk mendapatkan rawatan kerana tiada selera makan sejak sebulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan media pada hari ini.

Tambah Mohd Zaki, First Responder 18 RAMD (Para) sedang giat menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Dungun siang dan malam sejak gelombang keempat melanda pada Rabu lalu.

Untuk rekod, Dungun merupakan daerah yang masih terjejas banjir dengan merekodkan bilangan mangsa seramai 1,324 orang daripada 391 keluarga yang ditempatkan ke-12 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: