Avocado Shake Asyraf Murah, Menyegarkan
Mengetahui buah Avocado atau alpukat mempunyai khasiat tersendiri, seorang pemuda, Mohamad Asyraf Azizan, 23, mengambil inisiatif meniaga minuman berasaskan buah itu secara sampingan di hadapan Pusat Giat Mara Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Perniagaan yang jarang diceburi orang lain dan agak unik, memberi pulangan yang agak baik walaupun hanya berniaga pada tempoh tiga hingga lima jam sehari.
Asyraf berkata, harga segelas dijual dengan harga RM5. Malah, untuk menambahkan lagi keenakan minuman itu, dia cuba menambah lelehan coklat di dalamnya.
Menurutnya, waktu perniagaannya bermula dari jam 2 petang dan berakhir pada jam 7 petang. Manakala pada bulan Ramadan lalu, dia menjalankan perniagaan sekitar tiga jam sahaja bermula jam 4 petang.
“Gerai beroperasi setiap hari dan akan bercuti sekiranya kehabisan stok buah avocado kerana buah ini agak sukar diperolehi.
“Jika kehabisan stok, saya terpaksa menutup perniagaan dalam beberapa hari untuk menunggu buah yang ditempah sampai. Kadangkala, walaupun sudah memperoleh stok, kami perlu peram dahulu dan menunggu kira-kira tiga hari untuk memastikan ia benar-benar masak,"katanya.
Menurutnya, walaupun berniaga di sebuah gerai yang kecil dan baru berjinak-jinak di lapangan itu sejak lima bulan lalu, minuman avocado itu makin mendapat sambutan ramai dan mampu mencecah sehingga RM1,000 sebulan.
“Walaupun masih baru beroperasi, tetapi saya mampu untuk menjana pendapatan tambahan, kerana bagi saya di mana ada usaha, di situ ada jalannya. Saya berharap agar golongan belia juga sentiasa mencari idea baru serta inisiatif bagi menambah pendapatan seharian, tanpa berharap pada bantuan orang semata-mata,” katanya.