Baja Bio Dari Sisa Buangan Burung Walit Tingkat Hasil Tanaman
Wan Zaliha sedang meberi taklimat penggunaan baja-bio dalam meningkatkan hasil tanaman kepada peserta yang terlibat dalam projek Usahawantani Hevotech di Kampung Pela |
Pakar Pertanian Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membantu usahawan tani komuniti Kampung Pela, Ajil melalui program perkongsian dan pemindahan ilmu bagi menaik taraf kualiti hasil pertanian dengan penggunaan baja bio.
Program yang mendapat kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia melalui suntikan dana turut dibantu oleh Jabatan Pertanian Negeri Terengganu.
Ketua Projek, Dr. Wan Zaliha Wan Sembok berkata, penggunaan baja yang sesuai amat penting untuk mendapat hasil tuaian yang baik dan dijangka dapat membantu 20 peserta yang terlibat dalam projek usahawantani memasarkan baja bio ke pasaran glokal.
"Penghasilan baja bio daripada bahan terbuang seperti tahi burung walit dan baja biowalit ini digabungkan dengan mikrob berguna seperti mikoriza, yis, bakteria asid laktik serta lain-lain yang membantu menambah nutrien secara semula jadi dan merangsang pertumbuhan tanaman.
"Penggunaan baja biowait dalam tanaman cili dapat meningkatkan hasil tuaian 20 peratus dan mengurangkan 50 peratus kos operasi seterusnya dapat meningkatkan hasil pendapatan isi rumah para peserta dalam RM1,000 hingga RM1,500 sebulan,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pembukaan Program Usahawantani Hevotech di Pusat Pengendalian Hasil Tuaian Mini RTC Kampung Pela, Ajil, Hulu Terengganu, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Zulkefly Harun.
Wan Zaliha berkata, peserta juga akan didedahkan dengan ilmu pengetahuan dalam penghasilan baja supaya mampu menghasilkan biobaja keluaran sendiri dan seterusnya menjadi usahawan baja akan datang.
Sementara itu, Zulkefly berkata, pasaran untuk biobaja iaitu biowalit mempunyai potensi besar untuk dimajukan.
"Kita mempunyai bekalan sisa buangan burung walit yang mudah didapati di Terengganu dari 480 premis berdaftar serta lestari mampu menjamin keberkekalan projek ini.
"Kandungan nutrien yang tinggi dalam sisa buangan burung walit mampu bersaing dengan lain-lain produk baja bio di samping melestarikan alam sekitar dengan hasil kitar semula bahan,"katanya.