BAJET 2022 : Pertumbuhan Ekonomi Terengganu Diunjur Terus Berkembang

KUALA TERENGGANU, 15 November - Kerajaan negeri mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Terengganu bagi keseluruhan tahun ini dan 2022 akan terus berkembang positif.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) untuk 2021 dijangka kembali bertumbuh positif kepada antara 2.0 peratus hingga 2.2 peratus.

”Bagi tahun depan, kerajaan negeri menyasarkan pertumbuhan ekonomi akan berkembang kepada antara 3.0 hingga 3.4 peratus,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 Terengganu sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kali Ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman Hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri, program vaksinasi di negara-negara seluruh dunia termasuk di Terengganu dilihat telah berjaya mengatasi impak negatif peningkatan kes jangkitan COVID-19 sekali gus memulihkan prestasi ekonomi.

“Walaupun kegiatan ekonomi menjadi perlahan selepas pelaksanaan semula PKP penuh Fasa 1, secara keseluruhannya ekonomi negara terus meningkat pada suku kedua tahun ini apabila berkembang sebanyak 16.1 peratus berbanding negatif 0.5 peratus.

“KDNK Malaysia bagi keseluruhan tahun 2021 pula diunjurkan berkembang antara 3.0 peratus hingga 4.0 peratus berdasarkan jangkaan pembukaan semula semua sektor ekonomi dan sosial pada suku keempat,” jelasnya.


Tag: