Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
BAJET 2023: Baucer Pakej Berpantang Buat Ibu Bersalin
KUALA TERENGGANU, 29 November – Kerajaan negeri bakal memperkenal bantuan baharu buat para ibu bersalin melalui Baucer Pakej Berpantang dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bantuan tersebut bakal memberi manfaat kepada wanita yang berkelayakan.
“Khusus untuk wanita yang baru melahirkan anak, dengan ini diumumkan Baucar Pakej Berpantang bernilai RM200 bagi penjagaan selepas bersalin.
“Bantuan ini dijangka akan memberi manfaat kepada sekitar 5,000 orang wanita yang layak,” katanya dalam ucapan Belanjawan Terengganu 2023 Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempar Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Bantuan tersebut menjadi salah satu inisiatif dalam Teras 1, Rakyat Disantuni menjangkaui seluruh kelompok masyarakat di negeri ini.
Selain itu, pemberian Pencen Rakyat bernilai RM600 juga akan diteruskan dengan peruntukan berjumlah RM15 juta melibatkan 25,000 penerima.
“Selain Pencen Rakyat, kerajaan juga berhasrat meneruskan program Kad Sejahtera dengan penambahan jumlah penerima kepada 25,000 orang pada tahun hadapan selain RM4 juta lagi bagi program Wad Kelas 3 Percuma di semua hospital kerajaan di negeri ini,” tambahnya.
Kerajaan Negeri membentangkan Belanjawan bagi 2023 dengan jumlah RM1.991 bilion berbanding RM1.657 bilion tahun lalu bertemakan ‘Memacu Terengganu Berdaya Tahan’.