Bandar Lestari Akan Dibina Di Setiap Daerah
Satiful Bahri Mamat |
Kerajaan Negeri bercadang untuk membina sebuah bandar lestari di setiap daerah bagi memenuhi dan melaksanakan janji manifesto ketika Pilihan Raya Umum ke-14 baru ini.
Menurutnya, buat masa sekarang pihaknya masih di dalam proses untuk mengenal pasti tapak yang sesuai untuk pembinaan bandar lestari tersebut.
"Kita masih dalam proses mengenal pasti lokasi yang sesuai kerana di samping pembangunan, komponen sedia ada akan dikekalkan.
"Ianya akan berkonsepkan bandar di dalam taman kerana kita mahu mengekalkan kebersihan alam sekitar selari dengan pembangunan yang dibuat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh Urusetia Penerangan Darul Iman hari ini.
Satiful Bahri Mamat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paka berkata, sekiranya projek berkenaan berjaya, ia diyakini mampu meningkatkan tahap sosio ekonomi di negeri ini.
"Dengan terbinanya projek ini, kita yakin semua penduduk akan mendapat manafaat seperti peluang pekerjaan yang banyak dan peluang untuk berniaga.
"Sebagai contoh di daerah Dungun sendiri sudah tiada tanah untuk pembinaan rumah dan sekiranya projek ini dapat dilaksanakan, lebih banyak rumah akan dibina dan rakyat sendiri akan dapat merasainya," ujarnya.
Tambah beliau, bagi penempatan untuk anak muda pihaknya menganggarkan sebanyak 10, 000 hingga 15, 000 unit rumah akan dibina di bandar lestari tersebut.
"Ianya juga akan dilengkapkan dengan kemudahan lain termasuk pusat perniagaan, pasaraya dan sekolah rendah serta menengah Islam," katanya.