Peniaga Kecil Ditipu Resit Palsu Terima Bantuan Exco

BESUT, 7 April – Seorang peniaga kecil yang ditipu dengan resit palsu oleh beberapa pelanggan di daerah ini terharu selepas menerima bantuan daripada Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian, dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Terdahulu, peniaga terbabit yang berniaga makanan di Kiosk Kota Putera Square menelan pengalaman pahit apabila ditipu melalui penggunaam kod QR.

Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sumbangan bagi membantu membeli peranti soundbox bagi kegunaan pembayaran digital yang lebih selamat telah disalurkan.

Menurut beliau, penipuan yang dilakukan terhadap peniaga kecil ini bukan sahaja menyedihkan, tetapi juga membawa akibat buruk kepada pelaku dari sudut agama dan moral.

"Mungkin kita rasa kita gembira dan berjaya menipu peniaga ini, tapi kita tahu bahawa barang yang kita makan itu jadi darah daging kita.

"Walau si penipu merasa seolah berjaya memperdayakan peniaga, hakikatnya mereka sedang menzalimi diri sendiri dan keluarga dengan membawa pulang rezeki yang haram," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyantuni peniaga kecil di Kota Putera Square, disini semalam.

Tambah Nurkhuzaini, amaran telah jelas disebut dalam kitab suci, bahawa setiap sen yang diperoleh dari sumber tidak halal pasti akan membawa musibah.

"Dan beringatlah bahawa disebut dalam Al-Quran, setiap 1 sen apa yang kita makan dari sumber yang haram, yang layak baginya adalah api neraka. 

"Beringatlah bahawa apa yang kita makan itu sebenarnya adalah musibah untuk diri sendiri dan keluarga,” ujar beliau.

Kejadian menyedihkan itu berlaku ketika peniaga kecil berkenaan sedang sibuk melayani pelanggan yang berpusu-pusu sempena sambutan Aidilfitri.

Malangnya, dalam kesibukan itu, hanya seorang pelanggan sahaja yang benar-benar membuat bayaran menggunakan kod QR yang sah.

Dalam satu perkongsian tular di media sosial, mangsa, HusnaRadhiah Harun, meluahkan rasa kecewa apabila hampir semua pelanggan hanya berpura-pura membayar menggunakan kod QR.

"Semalam berniaga, ramai minta QR. Saya dah siap print, tinggal bagi mereka scan saja," tulisnya.

Menurutnya, pelanggan kemudian menunjukkan bukti kononnya bayaran berjaya, namun beliau tak sempat semak kerana sibuk menyiapkan maggi, manakala suami pula menguruskan oden.

"Hanya seorang jujur. Selebihnya semua tipu resit. Raya pun sanggup menipu," luahnya.

Katanya, dia baru cuba bangkit selepas tiada jualan sepanjang Ramadan, namun terpaksa telan rasa kecewa bila pulang hanya dengan RM7 hasil bayaran QR sah.