Banjir Di Hulu Terengganu Di Tahap Serius- Rohaimi

HULU TERENGGANU, 27 Februari - Banjir yang melanda daerah ini dikatakan terburuk daripada banjir yang berlaku sebelum ini termasuk 2014.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata ia berikutan terdapat beberapa kawasan yang terjejas tidak pernah dinaiki air sebelum ini.

Menurutnya, pihaknya mengenal pasti sebanyak 25 kampung di lima zon di daerah itu terjejas membabitkan mangsa seramai 1,432 orang sehingga kini.

"Semua mangsa berjaya dipindahkan ke 21 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak Khamis lalu," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu di sini, hari ini.

Menurutnya, Jalan Sekayu yang selama ini tidak pernah dinaiki air turut ditenggelami air dan ditutup kepada semua kenderaan.

Katanya, situasinya agak serius sebab paras air boleh mencecah sehingga ke bumbung rumah penduduk kampung.

Tambahnya lagi, 14 jalan utama di daerah itu ditenggelami banjir dan hanya boleh dilalui dengan bot termasuk ke laluan empangan Kenyir.

Rohaimi berkata, pihaknya sudah melakukan persiapan rapi dan kekuatan anggota setakat ini mencukupi dengan bantuan pelbagai agensi lain termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Sementara itu, menurutnya, bagi daerah Besut dan Kemaman, situasi banjir masih dalam trend menaik dan dijangka berlaku pertambahan penduduk akan dipindahkan ke PPS.