• 19 Sept 2024 | 15 Rabiul Awal 1446

Banjir : SKMM Pantau Sistem Komunikasi Agar Tidak Berlaku Gangguan

Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa memantau sistem komunikasi di Terengganu dan Kelantan agar sentiasa dalam keadaan baik walaupun dilanda banjir teruk sejak dua hari lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Jailani Johari berkata setakat ini alat komunikasi seperti telefon bimbit masih boleh digunakan mangsa banjir dan anggota penyelamat dalam pelbagai aspek tugasan dan laporan.

"Kadang-kala terdapat gangguan perkhidmatan internet, mungkin disebabkan penggunaan semasa yang agak tinggi pada waktu itu,
"Tapi pihak SKMM sudah buat persiapan awal sebelum ini sebagaimana yang telah diwar-warkan termasuk menaikkan ketinggian menara telekomunikasi yang berisiko ditenggelami banjir" katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau Pusat Pemindahan Bencana Banjir, di Kampung Tok Lawit, Hulu Terengganu, semalam.

Turut hadir Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Azmi Razik.

Katanya, penggunaan radio amatur oleh sukarelawan turut melicinkan hubungan komunikasi antara tempat terjejas banjir dalam penyampaian maklumat mengenai keadaan banjir dan keperluan semasa.

Dalam pada itu,Johari turut meminta pihak-pihak tertentu menghentikan tabiat menyebar maklumat palsu dan gambar lama mengenai kejadian banjir.

"Keadaan itu menyebabkan rasa panik kepada orang ramai tentang situasi yang berlaku kerana mereka tidak tahu apa yang sebenarnya telah berlaku.

"Apabila ada gambar mengenai banjir yang berlaku di tempat lain ditularkan, tidak mustahil mereka akan mempercayainya sedangkan situasi sebenar bukanlah seperti di dalam gambar..ini perkara yang tidak baik yang perlu di hentikan serta merta."katanya lagi.

Tag: