Banjir : Tubuh Jawatankuasa Pembersihan Tandas Di Pusat Pemindahan Banjir


Jawatankuasa pembersihan tandas di semua pusat pemindahan banjir akan ditubuhkan bagi memberi keselesaan kepada mangsa banjir terutama mereka yang uzur dan warga emas.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Shahidan Kasim berkata kemudahan itu penting kerana bilik air dan tandas adalah keperluan utama mangsa banjir ketika berada di pusat pemindahan.

"Jadi pihak kami akan mengenalpasti  lokasi atau sekolah yang dijadikan pusat ini bagi memenuhi keperluan itu yang mana kita akan menempatkan beberapa sukarelawan khas bagi menjalankan kerja pembersihan bilik air kerana selain dijadikan tempat mandi, ia juga dijadikan tempat berwuduk,"katanya ketika ditemui media di Sekolah Kebangsaan  Banggol Peradong, Manir, hari ini.

Sekolah yang dijadikan pusat permindahan banjir  mendapat kunjungan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Abdul Razak bagi menyerahkan bantuan kit makanan tambahan kepada mangsa banjir.

Shahidan turut memberitahu semua pihak perlu memberi kerjasama kepada media terutama dalam membuat laporan berkenaan banjir.

"Buat masa ini, semua media utama giat melaporkan perkembangan semasa banjir termasuklah media sosial.

"Bagaimanapun semua berita yang dimaklumkan di media sosial tidak begitu tepat berbanding berita daripada arus perdana berhubung dengan banjir, " katanya.

Katanya, oleh itu, semua agensi kerajaan dan mana-mana pihak perlu memberi kemudahan kepada penggiat media untuk membuat laporan dari masa ke masa.

"Kalau terdapat perkara yang tidak elok kita boleh cerita kerana dunia sekarang adalah dunia yang terbuka. Sekiranya media tidak lapor orang lain akan lapor,"katanya.

Tag: