Bantuan Kerajaan Negeri Ringan Beban 166 Penternak

Oleh : Nasrullah Kamaruddin

SETIU, 6 September - Bantuan input mampu meringankan beban 166 penternak di daerah dan Setiu yang terkesan akibat kenaikan harga harga makanan penternakan muktahir ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata kerajaan Terengganu memperuntukan bajet yang agak besar tahun ini bagi membantu pemain sektor pertanian.

"Saya percaya lebih ramai penerima atau penternak yang akan menerima manfaat sekali gus membolehkan semua untuk terus aktif seperti biasa dan menghidupkan sektor pertanian dengan lebih besar lagi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Majlis Penyerahan Bantuan Input Penternakan Ruminan Tahun 2023 peringkat daerah Besut dan Setiu di Dewan Sivik Jabi, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kesan daripada kos makanan yang meningkat menyebabkan binatang ternakan kurang berkualiti.

"Program ini antara inisiatif untuk membantu para penternak supaya isu pemakanan binatang ternakan bertambah baik dan para penternak dapat menghasilkan binatang yang berkualiti, sihat dan gemuk," jelasnya.

Tambah beliau lagi, sebelum ini dalam manifesto PAS tidak ada peruntukan untuk pertanian, tetapi untuk penggal baharu ini perkara tersebut dimasukkan.

"Rakyat golongan sasar adalah mereka yang berhak mandapat manfaat daripada apa yang telah dibawa dalam manifesto untuk penggal baharu," jelasnya.

Kata Dr Azman lagi, bagi meningkatkan mutu perkhidmatan petugas, seramai 31 petugas veterinar ditambah.

"Dengan tujuan supaya mereka memberi fokus lebih kepada para penternak dan dapat mengenal pasti apa yang boleh dibantu.

"Staf ini juga akan memastikan para penternak boleh terus memelihara binatang dengan baik, apa keperluan yang diperlukan oleh mereka akan ditangani dengan cepat dan berkesan," katanya.


Tag: