Barang Terbuang Jadi Hasil Seni Ukiran Seni Kayu Memukau


Oleh : Mastura Jamaldin
Seni ukiran kayu sangat sinonim dengan tradisi masyarakat Melayu dan merupakan warisan turun-temurun lagi.
Walaupun begitu, jumlah kepakarannya semakin berkurangan kerana tidak ramai yang berminat untuk menceburinya.
Bagaimanapun bakat semulajadi Pegawai Penerangan Daerah Hulu Terengganu, Abidin Abd Ghani ternyata memberi kelebihan apabila mampu menghasilkan pelbagai seni ukiran hasil sentuhan kreatif selepas waktu bekerja.

Dia kini mampu menukarkan sekeping kayu buruk serta terbuang kepada satu ukiran yang bernilai tinggi dan mampu memukau pandangan penggemar seni ukiran itu.
Jika sebelum ini Abidin hanya menghasilkan kerja seni itu untuk mengisi masa lapang,melihat sambutan dan sokongan ramai kenalan serta saudara-mara dia mahu menjadikannya sebagai pendapatan sampingan.
Menurut Abidin, jiwanya sejak kecil lagi sukakan sesuatu yang halus dan unik selain suka berkongsi kepada masyarakat tentang manfaat bahan kitar semula sejak berusia 20 tahun.
“Pada awalnya saya menghasilkan kerja seni ini hanya mengisi masa lapang dan kebanyakannya digunakan untuk menghias kediaman saya.
“Antara ukiran yang saya telah hasilkan termasuklah ayat-ayat suci al-Quran, kerusi, meja serta beberapa perhiasan lain tanpa disedari semua hasil seni berkenaan mencuri perhatian tetamu yang datang berkunjung.
“Alhamdulilah selepas itu ramai yang bertanyakan hasil kerja saya dan menyatakan keinginan untuk membuat tempahan sehinggalah ke hari ini,” katanya ketika ditemui The Iman Tribune di kediamannya hari ini.
Menurutnya, sikap berani mencuba idea baharu perlu ada bagi memastikan setiap yang dihasilkan seiring dengan kehendak semasa.
"Apabila saya mula memegang kayu, secara automatik saya mendapat ilham untuk sesuatu yang dipandang buruk dan terbuang menjadi seni ukiran indah dan diminati mereka yang menghargai kesenian.
"Sebelum dan semasa mengukir saya memerlukan idea dan kreativiti tersendiri untuk diadaptasi menjadi sebuah monumen yang mampu membangkitkan nilai estetika yang unik, "katanya lagi.
























Tambahnya lagi, bukanlah satu kerja mudah menzahirkan sesuatu imaginasi kepada satu bongkah kayu padat kerana setiap kerja seni ukiran kayu memerlukan tahap ketelitian yang tinggi dalam proses pembuatannya.
Kata Abidin, nilai utama ukiran terletak kepada kehalusan dan kualiti motif ukiran yang dihasilkan setiap pereka seni.






















Tag: