KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Kerajaan Negeri Terengganu mendesak Kerajaan Persekutuan agar segera memperbaiki kelemahan undang-undang negara susulan pendedahan kegiatan hubungan sejenis yang dikesan beroperasi secara terbuka di sebuah spa di ibu kota.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata, kejadian itu mendedahkan wujudnya kelonggaran perundangan sehingga membenarkan aktiviti yang bercanggah dengan syariat berlaku dengan berani.
Katanya, premis berlesen spa biasa mampu menyembunyikan kegiatan tidak bermoral tanpa tindakan awal kerana penguatkuasaan hanya dilakukan selepas aduan.
Manakala jelas beliau, undang-undang Syariah pula terikat dengan had ditetapkan oleh perundangan persekutuan.
“Apa yang berlaku ini mendedahkan kelompongan ketara dalam perundangan negara, khususnya apabila undang-undang sivil dan syariah tidak bergerak seiring serta tidak menyediakan ruang tindakan preventif yang berkesan.
"Penguatkuasaan pula sering terbatas kepada tindakan selepas berlaku aduan, manakala bidang kuasa Syariah di seluruh negara, termasuk di Terengganu, pula masih terikat dengan kekangan tertentu akibat had yang ditetapkan melalui undang-undang persekutuan,” jelasnya dalam laman sosialnya hari ini.
Menurutnya, Terengganu telah mengambil langkah konsisten melalui pemerkasaan Enakmen Jenayah Syariah negeri, termasuk pindaan besar yang memperkukuh peruntukan berkaitan kesalahan seksual, perbuatan songsang dan salah laku terhadap fitrah.
"Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Terengganu ingin menegaskan bahawa negeri ini telah mengambil langkah tegas dan konsisten dalam mengekang gejala hubungan sejenis dan apa jua perbuatan yang bercanggah dengan syariat.
"Langkah ini dilaksanakan bukan sahaja menerusi pentadbiran harian agensi penguatkuasaan, tetapi melalui penambahbaikan dasar dan undang-undang negeri yang lebih menyeluruh," ujar beliau.
Tambahnya, antara tindakan paling signifikan ialah usaha kerajaan negeri meminda Enakmen Jenayah Syariah Terengganu bagi memperkukuh peruntukan berkaitan kesalahan seksual, perbuatan songsang dan salah laku terhadap fitrah.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa usaha memperkemas undang-undang Syariah bukan bertujuan menghukum semata-mata, malah bertujuan mendidik masyarakat, menjaga maruah keluarga dan melindungi anak muda daripada kerosakan moral.
"Pindaan tersebut dirangka dengan teliti bagi memastikan peruntukan undang-undang bukan sahaja jelas dan mampu menutup ruang eksploitasi, tetapi juga dapat dikuatkuasakan dengan lebih berkesan oleh pihak berautoriti," katanya.
Pada masa sama, Dr. Khalil mendesak semua Ahli Parlimen serta Kerajaan Persekutuan meneliti semula kelemahan undang-undang sedia ada, termasuk aspek lesen premis dan kesalahan seksual, bagi memastikan undang-undang negara selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang menekankan kesejahteraan masyarakat.
"Malaysia memerlukan dasar yang lebih jelas, tegas dan selaras dengan keperluan sebuah negara Islam yang meletakkan kesejahteraan masyarakat sebagai keutamaan," tegas beliau lagi.