Batu Rakit Care Anjur Program Cakna Ibu Tunggal
Oleh: Helmi Abdul Salam
Batu Rakit Care dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit telah menganjurkan Program Cakna Ibu Tunggal DUN Batu Rakit, bertempat di Dewan Serbaguna Maras, Kuala Nerus semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Matberkata, program tersebut bertujuan memberi penerangan berkaitan bantuan yang disediakan oleh kerajaan kepada golongan ibu tunggal.
“Masih ramai dalam kalangan ibu tunggal yang tidak mengetahui bantuan yang sepatutnya mereka layak untuk mohon.
“Antara agensi yang hadir dalam menerangkan hal-hal berkaitan termasuk Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Daerah Setiu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu,” ujarnya ketika berucap merasmikan program yang dihadiri kira-kira 235 orang ibu tunggal daerah itu.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dan Pengerusi Batu Rakit Care Pauzi Muda.
Hanafiah berkata, rakyat negeri ini tidak perlu bimbang terhadap pemerintahan kerajaan PAS, kerana konsep kerajaan pada hari ini adalah sentiasa berlaku adil kepada semua rakyat yang berkelayakan tanpa mengira fahaman politik.
“Kita tidak akan melakukan pembaziran projek seperti mana pada zaman pemerintahan Barisan Nasional dahulu yang mana terdapat golongan yang berkelayakan tidak mendapat apa-apa bantuan sepatutnya.
“ Sebaliknya, kita akan pastikan semua golongan ibu tunggal akan mendapat bantuan yang seadilnya daripada kerajaan sekarang agar semua dapat hidup aman damai," ujarnya.