Musuh kita adalah pembangkang, jangan cemburu sesama sendiri dan jangan menyerang sesama kita walaupun kita tak suka kepadanya dan saya paling tidak suka perkara ini, tegas Presiden UMNO, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
"Saya Perdana Menteri, saya kena jaga, saya adalah Perdana Menteri untuk Malaysia... saya kena bawa politik bermoral, politik yang ada tata susila, sopan santun dan saya lebih suka kalau nak pukul... pukul dengan sindiran, cuit, tak pukul tegak cara kasar atau 'brutal',orang kata secara biadab.
"Sebab itu kita jangan ajar rakyat Malaysia politik macam ini...kita ni pemimpin, kita ni orang tua, kena tunjuk teladan yang baik...kalau berbeza pendapat pun tak apa, tak setuju dengan dasar pun tak apa, tetapi jangan sesekali burukkan peribadi orang, ini bukan politik orang Malaysia.
"Dan ini tak sepatutnya datang daripada bekas seorang pemimpin negara, ini bukan caranya, saya tak mahu anak muda belajar politik seperti ini kerana kita mahu membina sebuah negara yang berjaya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Media Sosial UMNO Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Najib memuji Biro IT UMNO Malaysia dalam menjadikan media sosial sebagai gerak kerja bafi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
"Satu usaha yang amat penting kerana PRU14 sangat-sangat dekat dan terbukti bahawa sumber yang paling berpengaruh alaf ini ialah dari media sosial. Kita kalah dalam peperangan media sosial dalam PRU12 dan PRU13... jadi kita harus menang dalam PRU14.
"Sudah terbukti bahawa berita benar atau tidak boleh tersebar luas ..boleh ditular sekelip mata kalau tidak bertindak cepat. Gunakan media sosial sebagai lidah kita yang akan memberi impak yang cepat dalam penyampaian berita,"katanya lagi.
Beliau juga meminta jentera media sosial lebih kreatif berbanding pembangkang bagi menarik pembaca di laman sosial.
Konvensyen Media Sosial diadakan untuk memberi penerangan tentang kepentingan,etika media sosial dan gerak kerja yang lebih berkesan kepada setiap penggiat media sosial UMNO bagi menghadapi PRU14.
Ia juga merupakan rumusan kepada usaha Biro IT yang telah menyelesaikan gerak kerja utama seperti penubuhan Ahli Jawatankuasa dan whatsapp Biro IT 191 Bahagian,Bengkel Penggerak Maya(BPM),Bengkel Teknikal Maya(BTM) dan Seminar Media Sosia(SMS).