SHMMP KRISMAS: 176 Anggota KPDN Terengganu Ditugaskan Pantau Harga
KUALA TERENGGANU, 21 April - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menggalakkan rakyat di negeri itu untuk membayar zakat fitrah secara 'online' atau atas talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam satu kenyataan kelmarin, MAIDAM berkata, pihaknya telah menetapkan beberapa perkara bagi membolehkan umat Islam menunaikan zakat dengan pantas dan selamat.
"Bayaran melalui FPX (secara atas talian) boleh dibuat di portal www.maidam.gov.my. atau menerusi aplikasi 'Snap & Pay' yang boleh dimuat turun dari Play Store," ujar kenyataan itu.
Dalam pada itu, MAIDAM berkata, perkhidmatan pembayaran zakat fitrah melalui amil masih disediakan namun ia hanya terhad bagi mereka yang tiada kemampuan bergerak dan tidak mahir menggunakan teknologi atau tidak mempunyai capaian internet.
"Walaupun begitu, mereka ini disaran untuk mendapatkan bantuan ahli keluarga yang memahami dan mengetahui kaedah pembayaran atas talian dahulu.
"Sekiranya masih gagal dengan cara itu, pembayar boleh menghubungi amil di kawasan atau mukim masjid masing-masing.
"Orang ramai boleh melayari portal www.maidam.gov.my untuk mengetahui maklumat amil di setiap kawasan, kita telah melantik 1,089 amil mengikut mukim masjid," jelas MAIDAM.
Tambah MAIDAM, untuk maklumat lanjut orang awam boleh layari www.maidam.gov.my atau melalui Facebook rasmi MAIDAM.