KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan negeri memberi jaminan bekalan barangan basah seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran mencukupi menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, rakyat tidak perlu bimbang mengenai perkara itu.
"Kita menjangkakan tidak akan berlaku situasi di luar jangkaan melihat kepada keadaan yang ada serta usaha yang telah dijalankan bagi mencukupkan segala barangan keperluan termasuk membawa masuk sayur dari luar.
"Dengan penyelesaian ini kita mengharapkan agar lebaran pada kali ini dapat disambut dengan baik dan meriah serta tidak akan menjejaskan persiapan untuk menyambutnya lebih-lebih lagi ramai perantau dijangka akan pulang ke Terengganu setelah diberikan kelonggaran," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di Pasar payang Kuala Terengganu, di sini, pada hari ini.
Turut hadir, Pengarah KPDHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia dan Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof.
Mengulas mengenai tinjauan itu, Dr Azman berkata ia bertujuan untuk memastikan barangan keperluan mencukupi bagi memenuhi permintaan rakyat serta harga dipamerkan adalah berpatutan sepanjang ramadan dan Aidilfitri yang bakal disambut nanti.
"Kesemua peniaga mematuhi penetapan harga Skim Harga Maksimun Musim Perayaan (SHMMP) insya-Allah perkara ini akan dipastikan berkekalan dengan pemantauan berterusan oleh penguatkuasa," ujarnya.