Pada 18 Oktober lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan Madani 2025 bertemakan 'Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat,' di Dewan Rakyat.
Seperti dijangka Belanjawan kali ini sekali lagi digambarkan sebagai bajet yang memberi fokus kepada usaha meringankan kos sara hidup dan memperkukuh kesejahteraan rakyat.
Selepas beberapa hari pembentangan berlangsung, pelbagai pandangan dilontar ahli politik, ahli ekonomi dan rakyat marhaen sama ada golongan bawah, pertengahan serta atasan.
Melihat dengan teliti kesemua komentar tersebut, satu kesimpulan yang menjadi kerisauan ramai adalah berkait pelaksanaan pelbagai inisiatif terutamanya membabitkan kantung rakyat.
Tidak dinafikan belanjawan ini ada perkara baik, namun beberapa inisiatif yang diumumkan mengelirukan rakyat terbanyak.
Perdebatan hangat yang berlaku adalah berkait T15 dan subsidi, Anwar ada menyebut mengenai kumpulan pendapatan 15 peratus teratas (T15) dan beberapa subsidi dikurangkan bagi golongan tersebut.
Sudah tentu yang paling menarik perhatian ramai ialah mengenai penarikan subsidi pukal petrol (RON95), ini menyaksikan golongan maha kaya disebut Anwar itu tidak dapat menikmati subsidi itu bermula pertengahan tahun depan.
Kata Anwar pelaksanaan itu boleh menjimatkan sehingga RM8 bilion kerana 40 peratus subsidi RON95 ketika ini dinikmati warga asing dan golongan T15.
Jika disemak data daripada Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), jelas dalam dokumen tersebut menyebut pendapatan T15 adalah pada julat RM13,000 hingga RM13,999 ke atas.
Namun, sehingga kini, majoriti rakyat Malaysia tertanya-tanya, siapa sebenarnya golongan T15 kerana tiada jawapan rasmi daripada kerajaan.
Ini yang menjadi persoalan sebilangan rakyat Malaysia yang bimbang sekiranya mereka tergolong dalam kumpulan tidak layak lagi menerima subsidi.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika ditanya mengenai T15 dua hari selepas pembentangan belanjawan berkata, pengkelasan kategori T15 sedang diperhalusi bagi memastikan penyasaran subsidi Kerajaan adil kepada semua pihak.
"Tetapi bila PM sebut T15, itu merujuk kepada kaedah-kaedah yang akan diumumkan nanti. 'If you ask me' sekarang, T15, saya ingat Kerajaan perlu melalui proses itu dan kita mahu jadikan benda ini adil berbanding sebelum ini. Saya tidak rasa (kita gunakan) pendapatan isi rumah seperti sekarang," katanya.
Kenyataan itu menimbulkan tanda tanya tentang keseriusan kerajaan Persekutuan dalam isu berkenaan, ini mengundang persepsi negatif daripada banyak pihak.
Ada yang mempersoalkan, bagaimana bajet dibuat sedangkan pengkelasan kategori belum dimuktamadkan, adakah angka-angka yang digunapakai seperti penjimatan RM8 bilion boleh dijadikan asas?, kerana ia penting demi perancangan ekonomi negara.
Bagi rakyat pula terutamanya yang bakal ditarik subsidi, sudah tentu mereka mahu ia dijelaskan seberapa segera, supaya mereka boleh membuat persediaan sepatutnya.
Jika ia berlaku secara tiba-tiba, hidup mereka mungkin berubah sekelip mata dengan bebanan melampau.
Akhirnya, usaha untuk menangani krisis kos sara hidup tidak berjaya, rakyat kekal hidup dalam tekanan dan masalah baru muncul akibat sikap 'kluk-klek' ini.
Semoga permasalahan ini berjaya dirungkai Kerajaan Madani.
Ima Wahida Mohd Zaid,
Editor TRDI News