KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Belanjawan 2025 membabitkan peruntukan RM421 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan dikhuatiri tidak memadai untuk mengatasi masalah hutang negara dan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman, menyatakan kebimbangan bahawa belanjawan negara yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mampu menyelesaikan isu kos sara hidup bermain dalam kalangan rakyat.
“Belanjawan dibentangkan walaupun besar tapi pada saya tidak akan menyelesaikan kos sara hidup yang semakin meningkat, kalau kita lihat pada hari ini rakyat masih dihimpit dengan kenaikan harga barang, kos operasi semakin tinggi dan rakyat berada dalam keadaan tertekan.
“Kita tidak menafikan ada kebaikan dengan belanjawan besar dikemukakan dan tetapi sebenarnya apabila belanja besar hutang kerajaan yang ada juga akan semakin meningkat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada baru-baru ini.
Ariffin juga menegaskan bahawa kerajaan perlu lebih serius dalam menangani isu kemiskinan, terutama di kawasan bandar dan luar bandar, yang masih dihantui oleh kemiskinan tegar.
"Terdapat golongan miskin tegar di Malaysia, khususnya di Terengganu meskipun menerima bantuan seperti RM100 seorang dan bantuan-bantuan lain yang biasa diberikan.
“Kita juga telah melihat bantuan disalurkan sebelum ini, namun persoalannya, adakah ia mampu menyelesaikan isu kemiskinan, terutamanya kemiskinan di bandar dan luar bandar?,” soalnya.
Beliau menambah, Kerajaan Persekutuan perlu memastikan segala bentuk bantuan, geran, dan pinjaman yang diumumkan sampai kepada rakyat di peringkat bawah tanpa diskriminasi dan halangan.
Dalam pada itu, Ariffin turut menyentuh isu subsidi, menurutnya mungkin akan ditarik balik secara berperingkat dan termasuk subsidi minyak yang telah diumumkan sebelum ini.
"Dijangka ia akan memberi kesan langsung kepada kenaikan harga barang keperluan lain seperti gula.
“Kerajaan kononnya memberikan pelbagai inisiatif kepada rakyat dan akan ada subsidi yang ditarik balik sebagaimana minyak diesel sebelum ini kita dengar petrol akan ditarik subsidi menyebabkan harga minyak naik serta kesan kenaikan harga barang.
“Ini akan memberi kesan langsung yang dipanggil kesan berantai, terutamanya kepada rakyat," katanya.
Justeru itu, beliau berharap agar kerajaan perseketuan perlu lebih serius dalam menangani isu berkait kos sara hidup.