Belia Puji Kerajaan Negeri Pelbagaikan Program Keagamaan

KUALA TERENGGANU, 1 Januari – Program keagamaan yang diadakan sepanjang tahun 2022 di negeri ini telah berjaya membentuk diri anak muda ke arah kebaikan.

Asyraff Najhan Azman, 19, berpendapat bahawa golongan muda dilihat sebagai representasi utama bagi membentuk individu untuk mencintai majlis ilmu.

Katanya, program Terengganu Bermunajat pada malam ini kebanyakannya dihadiri oleh golongan muda.

“Program sebegini amat penting untuk diadakan bagi membersihkan diri dalam persiapan untuk Menghadapi tahun hadapan,” jelasnya.

Dia berkata demikian selepas Program Terengganu Bermunajat bertempat di Masjid Jamek Pengadang Baru di sini semalam.

Sementara itu, Muhammad Ariffuddin Muhammad Fauzi, 20, turut berpandangan bahawa sambutan tahun baru ini amat bertepatan dengan slogan ‘Terengganu Maju Berkat Sejahtera’ dengan mengadakan program bermunajat.

Dia berkata, pimpinan kerajaan sekarang amat menitikberatkan program keagamaan seperti ini.

“Ianya amat baik untuk generasi sekarang supaya dididik untuk mencintai ilmu.

“Harapan saya agar kerajaan Terengganu meneruskan lagi program sebegini agar dapat membentuk diri orang muda melakukan kebaikan dan memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

 


Tag: