Bicara Bajet Terengganu 2018 : Apa Itu Bajet Defisit

Dr Roshaiza (kanan) jemputan sebagai ahli panel pada sesi pertama Bicara Bajet Terengganu 2018, di Wisma Darul Iman yang dihoskan oleh Muhd Aimin selaku moderator program itu. 
Terengganu termasuk dengan lapan negeri lain di Malaysia yang membentangkan bajet kurangan (defisit).
Selain sembilan negeri berkenaan, tiga negeri membentangkan bajet lebihan (surplus), manakala satu-satunya negeri yang membentangkan bajet berimbang adalah Negeri Sembilan.
Bajet seimbang adalah peruntukan belanja yang menyamai hasil yang diperolehi, bajet surplus pula apabila kerajaan berbelanja kurang daripada hasil, manakala defisit pula diklafisikasikan sebagai berbelanja melebihi pendapatan.
Bajet adalah rancangan perbelanjaan kerajaan yang melibatkan penerimaan wang, cukai serta duti lain dan wang tersebut digunakan dalam projek dan program pembangunan serta kebajikan rakyat.
Ketua Pengurusan Risiko Pusat Transformasi Perancangan Strategik Dan Risiko Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Roshaiza Taha berkata, bajet defisit sebanyak 10 peratus yang dibentangkan oleh Kerajaan Terengganu minggu lalu, bukanlah akibat kegagalan kerajaan namun ianya perlu dilakukan demi menjamin kesejahteraan rakyat Terengganu supaya rakyat dapat melalui tempuh keadaan ekonomi semasa.
Justeru dalam menguruskan kewangan, kerajaan tidak perlu terlalu memfokuskan kepada bagaimana perbelanjaan itu dibuat.
Katanya, bagi Terengganu titik tumpuan agihan perbelanjaan adalah kepada aktiviti berbentuk `perlu’ seperti bantuan kebajikan dan pembayaran emolumen.
“Hanya sebahagian kecil diperuntukkan untuk aktiviti pembangunan di mana ini menumpukan langkah yang diambil oleh kebanyakan kerajaan dalam era kegawatan ekonomi  memperuntukkan kos yang lebih kecil kepada pembangunan kerana sektor itu hanya dilaksanakan jika benar-benar diperlukan untuk manfaat rakyat.
“Fokus kerajaan dalam bajet ini adalah menangani kos sara hidup, memberi bantuan penghargaan kepada penjawat awam yang berbentuk emolumen atau berkonsep wajib. Hendak tidak hendak mesti ada.
“Apabila kita berkata begitu, adakah kerajaan negeri tidak pandai merancang..Beban kerajaan adalah apabila bajet defisit kita terpaksa berhutang, tetapi kerajaan menanggung beban tersebut demi kesejahteraan rakyat,”katanya.
Beliau mengulas demikian dalam Bicara Bajet Terengganu 2018 di Wisma Darul Iman yang dikendalikan Timbalan pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Pengurusan) Muhd Aimin Mohd Tahir, sebagai moderator program itu.
Menurut Roshaiza, kerajaan perlu berbuat demikian bagi mengatasai 3P, peningkatan kos sara hidup, membuka peluang pekerjaan dan membina perumahan bagi manfaat dan keutamaan rakyat pada masa kini.
Tambahnya, faktor ketidakstabilan harga minyak dan pertukaran mata wang asing juga menyebabkan bukan sahaja ekonomi seluruh dunia, malahan Malaysia mengalami kemelesetan serta tempiasnya dirasai Kerajaan Terengganu yang perlu menguruskan peruntukan sebaik mungkin walaupun dalam keadaan defisit.
“Kita kena faham konsep, kegagalan mengurus apabila agihan terlalu banyak (berbelanja) kepada pembangunan. Sebaliknya Terengganu (tidak gagal) kerana kita perlu mengutamakan perbelanjaan emolumen.Jika tidak kos sara hidup akan meningkat kerana rakyat tidak mampu (tiada pendapatan),”katanya lagi.
Beliau menjelaskan, konsep kerajaan negeri juga seperti ibu bapa yang harus menyediakan kelengkapan persekolahan anak, apabila kerajaan perlu melaksanakan perkara utama dan penting seperti menyediakan bantuan kepada rakyat, gaji secukupnya kepada penjawat awam serta kebajikan sebagai kelangsungan hidup terutama kepada golongan B40.- http:// terengganu.news

Tag: