lightning-solid
Berita :
Birds of Terengganu (Mandarin) Raih Anugerah Buku Negara
Birds of Terengganu (Mandarin) Raih Anugerah Buku Negara
Ahmad Zaeem Zainudin
1 hari yang lepas
49

KUALA TERENGGANU, 8 Disember - Usaha seorang Pengarah Pusat Antarabangsa di sebuah institusi pendidikan tinggi tempatan dalam memperkukuh agenda pemuliharaan alam sekitar berjaya menerima pengiktirafan besar apabila buku Birds of Terengganu edisi Mandarin (2024) diumumkan sebagai penerima Anugerah Buku Negara.

Pengarangnya, Anuar McAfee, yang telah menetap di Terengganu lebih 35 tahun, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu penghormatan besar bukan sahaja kepada dirinya, tetapi kepada seluruh pihak yang terlibat dalam pembangunan karya tersebut.

594057338_10161849219480980_5456776697966049850_n (1).jpg 792.07 KB
"Pengiktirafan ini adalah satu pencapaian bersama. Anugerah ini mencerminkan usaha semua pihak yang menjayakan penerbitan ini.

"Bertahun-tahun pemerhatian lapangan yang dihimpunkan dalam sebuah sumber rujukan, ramai individu yang meneliti dan memberikan pandangan terhadap kandungan, serta para penterjemah dan editor yang berdedikasi," katanya dalam satu kenyataan.

Buku tersebut, yang menghimpunkan puluhan tahun data lapangan merangkumi 463 spesis burung di seluruh Terengganu, mampu menjadi rujukan penting dalam sektor pemuliharaan dan pendidikan alam sekitar.

Penerbitan Birds of Terengganu mendapat sokongan padu Kerajaan Negeri Terengganu melalui beberapa institusi, termasuk Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM), Tourism Terengganu, serta Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Jelas Anuar yang juga merupakan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), UniSZA, hubungan kerjasama ini telah bermula sejak edisi pertamanya pada 2018 yang dirasmikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, sempena pembukaan Setiu Wetlands Boardwalk.

593930788_10161849217545980_6810516158710976767_n.jpg 383.43 KB
Pengiktirafan terhadap Birds of Terengganu bukan sekadar meraikan sebuah buku, tetapi mengangkat usaha kolektif pelbagai dalam melindungi khazanah alam, khususnya berkaitan avifauna di negeri ini.

"Akhir sekali, pengiktirafan ini menjadi dorongan, peringatan untuk terus menyokong pemuliharaan alam dan melibatkan lebih ramai anak muda Malaysia dalam menemui keindahan alam semula jadi.

"Bagi pihak semua yang membantu saya, saya amat bersyukur atas anugerah ini. Ia mengiktiraf pencapaian bersama kita, memperkukuh kepentingan melindungi warisan semula jadi kita, dan memberi inspirasi untuk kita terus melakukan lebih banyak usaha," ujarnya.

Terdahulu, Anuar juga telah membuat satu penemuan tergempar dalam dunia ornitologi apabila beliau berjaya merekodkan sarang pertama spesis burung Helang Perut Merah (Lophotriorchis Kienerii) di Terengganu pada Mei yang lalu.

Sebagai makluman, menurut Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), Anugerah Buku Negara merupakan acara berprestij bagi menghargai dan memberi pengiktirafan kepada para penggiat penerbitan yang bekerja di belakang tabir industri buku negara.

Pengiktirafan bertaraf nasional ini juga berperanan mendorong peningkatan kualiti penerbitan judul serta karya baharu, di samping memupuk budaya menulis dan membaca dalam kalangan masyarakat.


Tag :

Artikel Berkaitan